Pages

Saturday, April 14, 2012

Pertempuran pertama selepas gencatan senjata di Syria




Gambar dikeluarkan saluran televisyen pembangkang Syria, Shaam News Network menunjukkan kerosakan bangunan akibat dibedil di daerah Bab Dreib, Homs, kelmarin. - AFP


BEIRUT 13 April - Pasukan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad dilaporkan bertempur dengan pemberontak berdekatan sempadan Turki hari ini, pertempuran pertama selepas gencatan senjata anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dilihat berjalan lancar selepas dikuatkuasakan kelmarin.
Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman berkata, pertempuran itu berlaku di wilayah barat laut, Idlib, bersempadan Turki selepas tentera ditempatkan bagi mengusir pemberontak di kawasan tersebut.
Menurutnya, beberapa penyerang ditahan ketika pertempuran bermula, namun angka kematian tidak dinyatakan dan pertempuran dipercayai telah dihentikan.
Rami berkata, gencatan senjata yang dianjurkan oleh perutusan khas PBB, Kofi Annan, sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara, namun tiada tanda-tanda penempatan tentera di kawasan bandar ditarik balik.
Sementara itu, Jawatankuasa Koordinasi Tempatan berkata, pertempuran besar berlaku di perkampungan Kherbet Joz semalam, berdekatan dengan Turki dan berpuluh-puluh kereta kebal dikerah ke kawasan tersebut.
Sekurang-kurangnya 10 terbunuh termasuk tujuh orang awam, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera dalam pertempuran tersebut.
PBB mendakwa, tentera Assad telah membunuh lebih 9,000 penduduk sejak pemberontakan terhadapnya memuncak sejak 13 bulan lalu.
Pihak berkuasa mendakwa, pemberontakan tersebut berpunca daripada kumpulan pemberontak yang ditaja pihak luar yang didakwa mereka telah membunuh lebih 2,500 anggota polis dan tentera. - REUTERS

No comments: