ISLAMABAD - Askar-askar Pakistan semalam berusaha menggali salji, ketulan batu dan ais dalam misi mencari 135 orang yang tertimbus di bawah runtuhan salji.
Bagaimanapun, harapan menemui mereka yang terselamat tipis.
Seramai 124 orang yang tertimbus itu ialah askar Pakistan.
Hampir 36 jam selepas satu runtuhan salji mengenai sebuah pangkalan tentera Pakistan yang dibina di kawasan pergunungan Kashmir, para penyelamat belum lagi menemui mangsa yang terselamat atau mayat dari Glasier Siachen.
Salji runtuh itu mengenai pangkalan tentera itu antara pukul 5 dan 6 pagi kelmarin waktu Pakistan dan mungkin semasa sejumlah orang masih tidur.
Menurut satu kenyataan tentera, kawasan tersebut ditimbus salji, batu, lumpur dan salji yang cair.
Pihak tentera berkata, sekitar 180 askar dan 60 anggota penyelamat awam terlibat dalam misi menyelamat di sempadan India, sebuah kawasan yang dikenali sebagai medan perang tertinggi di dunia. - AFP
No comments:
Post a Comment