Pages

Monday, April 9, 2012

Syria tuntut jaminan

DAMSYIK: Syria memberitahu, tentera negara itu tidak akan diundurkan dari kubu pembangkang tanpa mendapat jaminan bertulis, semalam.
Menjelang tarikh akhir pengunduran esok, Kementerian Luar Syria berkata, tiada jaminan diberi bahawa “kumpulan pengganas bersenjata” akan dikehendaki meletak senjata.

“Untuk menyatakan bahawa Syria akan menarik balik tentera dari bandar yang diserang pada 10 April adalah tidak tepat.

“Kofi Annan belum menyerahkan jaminan bertulis mengenai penerimaan kumpulan pengganas bersenjata untuk menghentikan keganasan,” katanya.

Khamis lalu, Majlis Keselamatan PBB secara rasmi meluluskan tarikh akhir untuk tentera Syria berundur dari kubu pembangkang, namun Damsyik berkata, jumlah “aksi keganasan” meningkat sejak perjanjian itu dipersetujui.

Menurut Kementerian Luar, Annan juga tidak menyerahkan jaminan bertulis daripada kerajaan Qatar, Arab Saudi dan Turki untuk menghentikan dana mereka kepada “kumpulan pengganas.” “Syria tidak akan mengulangi apa yang berlaku ketika pemantau Arab hadir dan tentera berundur dulu.

“Ketika itu, kumpulan pengganas berkumpul semula dan mengangkat senjata untuk mengawal seluruh kawasan kediaman, selain melakukan setiap tindakan ganas seperti membunuh dan menculik serta memusnahkan harta-benda awam,” katanya.

Ketika Annan bertemu Presiden Bashar al-Assad di Damsyik, bekas Setiausaha Agung PBB itu berjanji menghentikan keganasan, melucutkan senjata pemberontak dan mengusahakan dialog dengan pembangkang.
“Prinsip Annan ini yang diterima Syria dan Damsyik bersetuju atas pelan damai enam perkara dicadangkannya,” katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Luar menekankan, kerajaan bersetuju bekerjasama dengan Annan.

“Kami akan terus memaklumkan langkah yang diambil bagi melaksanakan pelan berkenaan dengan harapan kerajaan boleh menerima dokumen jaminan itu,” katanya. - AFP

No comments: