Pages

Monday, April 9, 2012

OIC kutip derma bantu Syria




Penduduk Syria menghadiri pengebumian beramai-ramai mangsa yang didakwa penunjuk perasaan antikerajaan yang dibunuh oleh tentera Syria di bandar Al Qasseer, dekat Homs pada minggu lalu. - REUTERS


RIYADH 8 April - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan menjalankan pungutan derma bagi mengumpul sebanyak AS$70 juta (RM217 juta) untuk bantuan kemanusiaan di Syria, di mana kira-kira sejuta penduduk negara itu dianggarkan memerlukan bantuan.
OIC yang berpangkalan di Jeddah berkata, bantuan tersebut akan termasuk bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu, semalam berkata, sebahagian daripada bantuan itu akan disalurkan kepada petani Syria dan penduduk yang terpaksa berpindah akibat keganasan.
Wakil-wakil OIC, pertubuhan yang dianggotai oleh 57 negara Islam termasuk Syria, melakukan tinjauan bersama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria pada bulan lepas.
Sementara itu di Damsyik, hampir 130 orang dilaporkan terbunuh di Syria semalam, termasuk 86 penduduk awam, apabila tentera Presiden Bashar al-Assad meneruskan kempen untuk menghancurkan pemberontakan, tiga hari sebelum gencatan senjata dan pengunduran askar dijadual berlaku.
Pemantau melaporkan peningkatan keganasan, meskipun Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon membidas Damsyik kerana memperhebatkan serangan ke atas kubu-kubu pemberontak menjelang gencatan senjata pada Selasa ini.
"Ki-moon kesal dengan serangan yang dilakukan oleh tentera rejim Syria ke atas penduduk awam termasuk ke atas wanita dan kanak-kanak, meskipun kerajaan Syria memberi komitmen untuk menghentikan penggunaan senjata berat di kawasan berpenduduk.
"Tarikh 10 April yang ditetapkan untuk kerajaan Syria melaksanakan komitmennya, seperti diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB, bukanlah alasan untuk meneruskan pembunuhan," kata Ki-moon dalam kenyataan yang dibacakan oleh jurucakapnya, Martin Nesirky. - AFP

No comments: