SIASAT... anggota polis membawa mayat bayi yang ditinggalkan atas meja sebuah kedai makan. |
ALOR SETAR: “Saya sangka bungkusan itu barang sihir kerana dibalut kemas dengan kain putih dan plastik hitam, namun tidak menyangka ia sebenarnya mengandungi mayat bayi cukup sifat.”
Begitu kata pemilik gerai makan, Rusdi Abd Aziz, 45, apabila menemui mayat bayi perempuan, dipercayai baru dilahirkan, di atas meja premisnya berhampiran Masjid Sungai Mati, di sini, jam 8 malam kelmarin.
Bayi itu ditemui dalam beg plastik berwarna hitam dengan bungkusan kain putih, termasuk masih mempunyai tali pusat dan dipercayai lahir kurang daripada 12 jam.
Rusdi berkata, dia menyedari bungkusan itu berada di atas sebuah meja gerainya ketika menuju ke pekan Langgar bersama isterinya pada waktu petang bagi mencari beberapa keperluan untuk berniaga pada keesokan harinya.
“Rumah saya terletak dua kilometer dari lokasi gerai kami. Ketika melintasi gerai, saya melihat ada bungkusan beg plastik di atas meja sedangkan setiap kali selepas berniaga, saya pastikan tiada barang tertinggal.
“Pada mulanya saya tidak menyangka perkara pelik. Namun, hati saya tertanya-tanya lalu menghantar isteri ke rumah sebelum keluar semula menaiki motosikal untuk melihat bungkusan terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam kelmarin.
Rusdi berkata, setibanya di gerai, dia berasa tidak sedap hati ketika melihat bungkusan itu lalu mengajak beberapa penduduk yang tinggal berhampiran untuk memeriksanya.
Menurutnya, seorang penduduk mengarahkannya memeriksa bungkusan terbabit menggunakan kayu kerana tidak mengetahui kandungan sebenar, selain bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Saya menguis bungkusan itu menggunakan kayu dan melihat ada sesuatu dibungkus dengan kain putih. Saya memeriksa dengan lebih lanjut sebelum ternampak kaki dan keseluruhan badan bayi terbabit,” katanya.
Rusdi berkata, selepas mengetahui kandungan bungkusan itu, dia bergegas melaporkan penemuan itu kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika mengesahkan kejadian berkata, pihaknya percaya mayat bayi perempuan terbabit baru dilahirkan sebelum diletakkan di gerai.
Katanya, mayat bayi dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat, manakala polis meneruskan siasatan untuk mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian.
No comments:
Post a Comment