Pages

Sunday, March 18, 2012

Kemalangan bas terus jadi misteri

 PEGAWAI memeriksa keadaan bas  yang terbabit dalam kemalangan di Sierre yang mengorbankan 22 nyawa.
PEGAWAI memeriksa keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan di Sierre yang mengorbankan 22 nyawa. 
Berita Harian Online | Kemalangan bas terus jadi misteri:

Punca nahas belum dapat dirungkai, penyiasat masih menunggu pengesahan akhir 

BRUSSELS: Misteri mengenai kemalangan bas yang meragut nyawa 22 kanak-kanak dan enam dewasa di terowong Switzerland semakin membingungkan.
Ketika mayat mangsa sudah dihantar pulang ke Belgium ketika negara itu berkabung kelmarin, seorang pendakwa Switzerland dalam kes itu itu menolak pemandu itu mabuk, memandu dengan laju atau terganggu oleh pemain DVD.
Walaupun ketika ini penyiasat masih melihat kemungkinan kesilapan teknikal terhadap bas, kesilapan pemandu atau masalah kesihatan sebagai punca, pendakwa Olivier Elsig menjelaskan bahawa pemandu bas itu tidak mengalami masalah serangan jantung dan sudah mempunyai rehat secukupnya sebelum kejadian kemalangan. 

“Sementara menunggu pengesahan akhir pemeriksaan, kita boleh katakan yang arak bukan puncanya,” kata Elsig kepada wartawan memetik keputusan bedah siasat. 

Beliau berkata lelaki itu memandu di bawah had laju ketika kenderaan terbabit melanggar dinding terowong, meragut 22 nyawa pelajar berusia 12 tahun, empat guru dan dua pemandu yang dalam perjalanan pulang ke Belgium dari lawatan ke pusat peranginan ski di Pergunungan Alps Switzerland. 

Menjawab laporan media yang pemandu mungkin menukar DVD sebelum kejadian, Elsig berkata penyiasat sudah menemuramah 10 kanak-kanak yang terselamat dan saksi lain. 
“Tiada seorang pun kanak-kanak atau saksi lain yang sehingga kini boleh mengesahkan khabar angin ini,” katanya kepada wartawan di Sion, pekan di barat Switzerland berdekatan tempat kejadian. 

Pemeriksaan kenderaan dan analisis kesan yang dikumpul di tempat kejadian kini masih dijalankan, kata Elsig. 

Beberapa jam terdahulu, 22 keranda putih yang menempatkan mayat kanak-kanak dan enam keranda perang dengan mayat mangsa dewasa tiba di lapangan terbang berdekatan Brussels dengan pesawat tentera Belgium. 

Pada jam 11 pagi waktu tempatan, negara bertafakur selama seminit bagi memperingati kematian kanak-kanak dari dua sekolah selain dewasa. 

Pengangkutan awam dihentikan seketika, orang ramai di stesen kereta api yang sibuk Gare Centrale Brussel berdiri seketika, polis dan bomba seluruh negara berkumpul untuk memberikan penghormatan. 

Tafakur seminit itu turut diadakan di Belanda, di mana enam mangsa tinggal. – Agensi
'via Blog this'

No comments: