Pages

Friday, March 9, 2012

Kaku Pak Belang depan mata

Kaku Pak Belang depan mata - Selangor & KL - Sinar Harian:
pak belang
KAMPUNG BARU PASIR PENAMBANG - “Saya kaku dan hanya mampu tergamam sebaik melihat kelibat harimau dengan jarak tidak jauh daripada tempat berdiri,” kata seorang penduduk, Hasbullah Abd Rahman, 45, menceritakan detik cemas selepas terserempak Pak Belang itu di ladang kelapa sawit, di sini, kelmarin.

Hasbullah berkata, ketika kejadian, dia hanya mampu memikirkan nasib kemungkinan akan menjadi mangsa haiwan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, sebaik mendengar ngauman kuat, dia bagaikan baru tersedar dan menggagahkan diri berlari sekuat hati ke laluan utama, manakala tujuh lagi rakan yang turut berada dalam ladang berkenaan lari lintang pukang.

“Tanpa memandang ke belakang, kami lari seakan tidak cukup tanah, apabila sampai di jalan besar, saya terus mencari rakan yang lain,” katanya yang tidak menyangka khabar angin harimau berkeliaran di kawasan itu sebelum ini, adalah benar.

Sebelum kejadian, Hasbullah bersama tujuh lagi penduduk kampung yang tidak berpuas hati dengan khabar angin terbabit mengambil keputusan untuk meninjau kawasan ladang kelapa sawit kira-kira jam 4.30 petang.

Namun, mereka sama sekali tidak menyangka terserempak dengan haiwan berkenaan.

Hasbullah berkata, belum sempat meninjau kawasan ladang itu dengan lebih jauh, enam rakan lain terlebih dahulu menyedari kelibat harimau itu tanpa memaklumkan kepadanya yang berada lebih jauh di hadapan.

“Apabila lihat dengan mata sendiri, saya kini gementar dan bimbang jika ada penduduk lain yang melalui kawasan itu, terutama mereka yang menghantar anak ke sekolah berhampiran,” katanya yang masih trauma dengan insiden itu.

Seorang penduduk, Nordin Ahmad, 23, mengakui pernah terserempak dengan haiwan liar terbabit kira-kira tiga minggu lalu ketika menunggang motosikal ke pekan bersama dua rakannya kira-kira jam 10 malam.

“Kami menggunakan jalan alternatif yang ada untuk ke Kampung Permatang dan apabila sampai di simpang tiga, saya terkejut apabila terlihat ada seekor harimau yang ketika itu sedang berbaring di tepi kiri jalan.

“Saya beritahu rakan lain mengenai penemuan itu, namun mereka tidak percaya,” katanya.

Ketua Kampung Permatang, Mohd Za’aba Muda ketika ditemui berkata, pihaknya sudah memaklumkan insiden itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Kebanyakan anjing liar dan babi hutan tidak kelihatan di kawasan ladang kelapa sawit itu lagi, kemungkinan ia menjadi makanan haiwan buas itu,” katanya yang berharap perkara ini dapat diselesaikan segera.

Difahamkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah membuat tinjauan, bagaimanapun belum dapat mengenal pasti sama ada wujud harimau seperti yang didakwa penduduk kampung berkenaan.

'via Blog this'

No comments: