Pages

Wednesday, January 25, 2012

Perang psikologi ke atas Iran

Menggerunkan : Kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln

TEHERAN 24 Jan. – Iran menuduh negara-negara Eropah melancarkan ‘perang psikologi’ selepas Kesatuan Eropah (EU) mengharamkan import minyak dari Iran.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam pada itu berkata, Washington akan mengenakan sekatan lanjut ke atas Teheran bagi menghadapi ‘ancaman serius daripada program nuklear Iran’.
Republik Islam itu, yang menafikan program nuklearnya bertujuan untuk membina bom nuklear, mencemuh usaha untuk menyekat eksport minyaknya, sementara negara-negara Asia bersiap sedia untuk membeli minyak yang ditolak oleh Eropah.
“Sekatan EU ke atas minyak Iran adalah perang psikologi.
“Mengenakan sekatan ekonomi ialah langkah yang tidak logik dan tidak adil tetapi tidak akan menghalang negara kami daripada mendapat haknya,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, semalam.
Katanya, negara-negara Eropah dan negara yang ditekan Amerika patut memikirkan kepentingan mereka sendiri.
“Mana-mana negara yang menolak bekalan dari pasaran tenaga Iran akan segera mendapati negara lain telah mengambil tempatnya,” kata Mehmanparast.
Pelanggan terbesar Iran, China menolak tekanan AS supaya ia mengurangkan import minyaknya dari Teheran, begitu juga dengan negara-negara Asia yang lain.
India semalam berkata, sekatan memaksa Iran menjual minyak dengan harga lebih murah dan India merancang untuk mengambil kesempatan penuh daripada penurunan harga itu dengan membeli seberapa banyak minyak yang boleh.
Sekatan EU itu termasuk pengharaman segera ke atas semua kontrak baru bagi mengimport, membeli atau mengangkut minyak mentah dan produk petroleum Iran. – REUTERS

No comments: