John Kiriakou |
WASHINGTON 24 Jan. - Bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang mengesahkan penggunaan kaedah penyeksaanwaterboarding ke atas anggota kanan al-Qaeda, Abu Zubaydah, didakwa membocorkan maklumat sulit kepada wartawan, termasuk mengenal pasti dua pegawai CIA, semalam.
Menurut agensi itu, John Kiriakou yang berkhidmat dengan CIA antara tahun 1990 hingga 2004, didakwa kerana melanggar peraturan yang melarang mengenal pasti pegawai dilindungi, membocorkan maklumat sulit dan menipu lembaga pemeriksa penerbitan CIA.
Dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah atas kesemua tuduhan itu.
"Melindungi maklumat sulit dan pegawai-pegawai CIA dalam operasi sensitif sangat penting untuk memastikan keselamatan anggota perisikan dan negara.
"Dakwaan hari ini memperkuatkan lagi komitmen Jabatan Kehakiman untuk menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab dan memberi amaran kepada semua supaya tidak mendedahkan maklumat sulit seperti itu," kata Peguam Negara, Eric Holder.
Kiriakou mendapat perhatian umum selepas satu wawancara dengan BBC News pada Disember 2007 di mana dia menjadi pegawai Amerika Syrikat pertama menceritakan mengenai kaedah penyeksaan waterboarding ke atas Abu Zubaydah.
Menurut Jabatan Kehakiman, Kiriakou turut menjadi sumber maklumat kepada berita yang disiarkan oleh New York Times pada Jun 2008 yang merujuk pegawai CIA terlibat dalam kes penyeksaan Abu Zubaydah.
Dia juga didapati menipu lembaga pemeriksa CIA untuk mendapatkan kebenaran menerbitkan buku mengenai pengalamannya yang bertajuk The Reluctant Spy: My Secret Life in the CIA's War on Terror. - AFP
No comments:
Post a Comment