Pages

Saturday, January 7, 2012

Bekas ketua tentera Turki dituduh cuba gulingkan Erdogan



Tayyip Erdogan bersama Ilker Basbug di Ankara dalam gambar fail 1 Ogos 2010. Basbug dituduh berkomplot mahu gulingkan Erdogan. - AFP


ISTANBUL 6 Jan. - Bekas ketua tentera Turki, Jeneral Ilker Basbug ditahan hari ini berhubung tuduhan cuba menggulingkan kerajaan, lapor agensi berita Anatolia.

Peguam kepada Basbug, Ilkay Sezer berkata, anak guamnya itu telah ditempatkan di penjara Silivri di sini, pusat tahanan yang dikhaskan untuk kumpulan pengganas dan mereka yang cuba menggulingkan kerajaan.

Berpuluh-puluh tentera dipenjara dalam tempoh beberapa tahun ini sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung komplot menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan.

Namun ini adalah pertama kali dalam sejarah di republik ini seorang bekas ketua tentera ditahan.

Basbug yang bersara pada 2010, merupakan pegawai berjawatan tertinggi yang terlibat dengan siasatan besar-besaran ke atas rangkaian yang digelar Ergenekon, kumpulan yang dituduh berkomplot menggulingkan parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Penangkapan dibuat beberapa jam selepas testimoni Basbug sebagai suspek di mahkamah Istanbul semalam, sebahagian daripada siasatan atas dakwaan berkempen di Internet untuk menggulingkan kerajaan.

Antara tuduhan yang dihadapi oleh Busbug ialah menubuhkan laman web yang menyebarkan propaganda antikerajaan.

Tentera Turki yang menganggap diri mereka sebagai penjaga sekularisme sebelum ini pernah melancarkan rampasan kuasa pada 1960, 1971 dan 1980. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: