Pages

Sunday, December 9, 2012

Morsi beri isyarat sedia tolak ansur

Berita Harian | Morsi beri isyarat sedia tolak ansur:

Foto
Beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul di depan Istana Presiden bagi memprotes tindakan Morsi menentukan tindakannya tidak boleh dicabar pihak lain. - Foto AFP

Foto

Sanggup tunda pungutan suara, penentang terus berdegil

Kaherah: Presiden Mohamed Morsi, memberi isyarat sedia bertolak ansur dengan penentang dengan menawarkan untuk menangguhkan pungutan suara.

Naib Presiden Mesir, Mahmoud Mekki, mengeluarkan kenyataan menyatakan tawaran Morsi itu.

Penentang tak cabar

Tetapi, Morsi menegaskan, beliau hanya akan menimbangnya jika penentang memberi jaminan tidak akan mencabar langkah itu kerana pungutan suara biasanya perlu diadakan dua minggu selepas ia dikemukakan kepada presiden, kata Mekki.

Cuma, tawaran itu tidak memenuhi tuntutan penentang yang juga mahu Morsi menarik balik perintah khas yang memberikan lebih kuasa kepadanya.

Penyelaras bersama gabungan pembangkang, Mohamed ElBaradei berkata, Morsi akan kembali menyatukan rakyat jika membatalkan perintah khas itu dan menangguhkan pungutan suara.
Tangguh undian

Agensi berita melaporkan jawatankuasa pilihan raya menangguhkan permulaan undian untuk rakyat Mesir di luar negara sehingga Rabu ini, berbanding semalam seperti dirancang.

Ia tidak menyebut sama ada tindakan itu akan menjejaskan pengundian di Mesir.

Ibu kota Mesir dan beberapa bandar raya lain digegarkan dengan bantahan sejak 22 November lalu, apabila Morsi mengeluarkan perintah khas memberikan lebih kuasa kepada presiden dan meletakkan beliau mengatasi undang-undang.

Lewat kelmarin, penunjuk perasaan mengepung bangunan pentadbiran di Dataran Tahrir ketika kemarahan berterusan berhubung cubaan Morsi menerima Perlembagaan baru.

Penunjuk perasaan berkumpul sekitar istana presiden, merempuh kawat duri dan memanjat kereta kebal yang mengawal kerusi presiden dipilih secara bebas pertama Mesir, yang memegang jawatan Jun lalu.

Halang laluan

Pengawal Republikan menghalang laluan ke istana presiden selepas keganasan tercetus antara penyokong dan pembangkang Morsi, menyebabkan tujuh maut dan sekurang-kurangnya 350 cedera.

Morsi dikatakan mahu memberi kebenaran kepada tentera bertindak mengawasi keadaan selain membantu polis mengawal suasana, lapor akhbar Al-Ahram.

Blok pembangkang utama, Barisan Penyelamat Kebangsaan, berkata ia tidak akan menyertai dialog itu.

Jurucakap Parti Kebebasan dan Keadilan, Murad Ali, berkata tindakan pembangkang itu amat mengecewakan. - Agensi


'via Blog this'

No comments: