Pages

Sunday, November 4, 2012

Penentang lancar serangan besar-besaran



KLIP video YouTube menunjukkan pejuang-pejuang penentang memerhatikan mayat beberapa askar Syria yang ditembak mati selepas mereka ditawan di bandar Saraqeb, Khamis lalu.


DAMSYIK - Pihak penentang di Syria menyatakan semalam bahawa mereka melancarkan serangan besar-besaran ke atas sebuah pangkalan udara utama di utara negara berkenaan.
Serangan itu dilancarkan menjelang satu rundingan penting berhubung masa depan penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad di Syria.
Kepungan ke atas pangkalan udara Taftanaz itu berlaku selepas tentera Bashar melancarkan serangan udara bertubi-tubi minggu ini bagi melemahkan kedudukan penentang yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Pangkalan udara itu menempatkan sejumlah helikopter tempur yang digunakan tentera Syria untuk menyerang kawasan-kawasan yang dikuasai FSA.
Satu klip video di internet menyatakan, sebanyak lapan batalion FSA mengambil bahagian dalam serangan itu termasuk kumpulan Islam radikal, Barisan Al-Nusra.
Rakaman turut menunjukkan FSA menggunakan pelancar roket untuk menyerang kedudukan tentera Syria di pangkalan udara tersebut.
Semalam, pemberontak menawan kedudukan pertahanan udara di Duwila, dalam wilayah Idlib dalam pertempuran yang meragut nyawa seorang pegawai tentera dan mencederakan lapan pejuang FSA.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, FSA turut menawan beberapa kedudukan tentera Bashar di bandar Douma, dekat sini dan merampas sebuah balai polis, sebuah bangunan majlis perbandaran dan selepas membunuh 21 askar Syria.
Pertempuran terbaharu itu berlaku ketika pihak penentang Syria bersiap sedia menyertai rundingan di Qatar hari ini dengan Amerika Syarikat dijangka mendesak satu organisasi baharu diwujudkan bagi menyatukan kesemua kumpulan serpihan penentang rejim Bashar.
Sementara itu, FSA dikecam berikutan tersiarnya satu klip video di laman web YouTube yang mendakwa pejuang-pejuangnya membelasah dan menembak mati kira-kira 10 askar selepas menyerang beberapa pos kawalan tentera di bandar Saraqeb, barat daya Syria pada Khamis lalu.
Setakat ini, lebih 36,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Bashar tercetus pada Mac tahun lalu kerana menuntut hak demokrasi. - AFP

No comments: