Abu Jihad - Yasser Arafat
Abu Jihad (kiri) juga adalah sahabat baik kepada Arafat. Foto: AP
TEL AVIV - Israel, kelmarin membuat pengakuan menjadi dalang pembunuhan Khalil al-Wazir @ Abu Jihad, timbalan kepada bekas Presiden Yasser Arafat dalam satu operasi dirancang agensi perisikan Mossad pada 1988 di Tunisia.

Pendedahan termasuk wawancara bersama komando yang bertanggungjawab menembak mati pengasas gerakan Fatah itu disiarkan oleh akhbar Yediot Aharonot selepas maklumat tersebut dirahsiakan selama 12 tahun.

Menurut akhbar itu, operasi rahsia dilancarkan di kediaman Abu Jihad yang terletak di negara Afrika Utara tersebut disertai oleh 26 anggota unit komando elit Sayeret Matkal.

Difahamkan, tindakan itu diambil kononnya selepas beliau didakwa terlibat dengan beberapa siri serangan menyasarkan golongan Yahudi termasuk mengetuai intifada pada 1987-1993 yang menentang pendudukan Israel.

Ketika insiden tersebut, pengawal peribadi dan pekebun beliau turut dilaporkan terbunuh.

Beberapa sumber menyebut Menteri Pertahanan Ehud Barak dan Timbalan Perdana Menteri Moshe Yaalon juga antara pemimpin tertinggi yang terlibat dalam operasi itu.

Maklumat yang didedahkan menjelang proses penggalian semula kubur Arafat pada akhir bulan ini dilihat akan mencetuskan semula kontroversi kerana sebelum ini Palestin pernah menuduh Israel menyebabkan kematian bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin(PLO) tersebut. - AP