Pages

Saturday, November 3, 2012

Datuk Bandar New York undang kontroversi



SEBUAH bot dan serpihan lain terdampar di atas landasan kereta api New Jersey Utara di New Jersey selepas taufan Sandy kelmarin.


NEW YORK - Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mencetuskan kontroversi apabila mahu meneruskan acara marathon terbesar di dunia yang akan diadakan di kota metropolitan ini esok.
Ramai penduduk kota raya ini berpendapat bahawa keputusan Bloomberg tidak kena pada masanya.
Ia ekoran keputusan itu dibuat ketika pasukan penyelamat memasuki sejumlah kediaman yang ditenggelami air bah untuk mencari mangsa-mangsa terselamat selepas taufan Sandy membadai Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).
Angka kematian akibat bencana tersebut itu di sini dan negeri New Jersey kini meningkat kepada lebih 95 orang.
"Jika mereka meneruskan marathon ini saya akan menjerit," kata seorang ahli majlis bandar raya ini, James Oddo dalam akaun Twitternya.
"Kita ada ramai orang yang hilang kediaman dan hilang harapan," tambahnya.
Bagaimanapun, dalam mempertahankan keputusannya, Bloomberg berjanji marathon itu tidak akan menggunakan sebarang sumber atau bantuan yang diperuntukkan kepada mangsa taufan Sandy.
Beliau juga menjangkakan bekalan elektrik di kawasan Manhattan di sini akan dipulihkan esok.
"(Tambahan pula), terdapat banyak perniagaan kecil yang bergantung kepada acara itu. Kita perlukan aktiviti bagi menjana ekonomi," kata Bloomberg dalam satu sidang akhbar Rabu lalu.
Penganjur marathon berkenaan, kelab New York Road Runners memberitahu, acara tersebut akan menjana pendapatan berjumlah AS$340 juta (RM1.03 bilion) kepada kota raya ini.
Kelab itu mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mendermakan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3 juta) bagi membantu mangsa-mangsa taufan Sandy di sini.
Seramai 40,000 pelari dijangka mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Sementara itu, kemarahan orang ramai semakin memuncak ekoran angka kematian yang terus meningkat di samping bantuan yang lambat tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.
"Mereka (pihak berkuasa) lupakan kita," kata seorang wanita berusia 42 tahun, Theresa Connor.
Menurutnya, kawasan kejiranannya di Staten Island di sini musnah sama sekali akibat taufan Sandy.
"Bloomberg pula menyatakan kota raya New York berada dalam keadaan baik. Marathon akan diteruskan!" katanya.
Selain kelambatan bantuan, orang ramai juga berasak-asak untuk membeli petrol dengan menyebabkan harga bahan itu melambung tinggi.
Pendakwa Raya Daerah Richard Brown berkata, berlaku beberapa kejadian tidak diingini ekoran situasi tersebut dengan seorang lelaki di sini didakwa kerana mengacukan pistol terhadap seorang pemandu lain selepas lelaki itu cuba memotong barisan untuk membeli petrol.
Sebuah firma pengukur bencana, Eqecat menganggarkan Sandy menyebabkan kerugian yang diinsurans berjumlah AS$20 bilion (RM61 bilion) manakala kerugian ekonomi pula mencecah AS$50 bilion (RM152 bilion).
Taufan Sandy merupakan bencana keempat terburuk di AS di belakang Taufan Katrina pada 2005, serangan 11 September pada 2001 dan Taufan Andrew pada 1992.
- Agensi

No comments: