Pages

Friday, November 2, 2012

Ada individu, pertubuhan hasut keganasan: Yangon

PELARIAN Rohingya berasak di kem pelarian Mayebon, barat daerah Rakhine Myanmar, menunggu ketibaan bantuan luar. - Foto AP
PELARIAN Rohingya berasak di kem pelarian Mayebon,
barat daerah Rakhine Myanmar, menunggu ketibaan
 bantuan luar. - Foto AP
Myanmar arah penduduk Rakhine serah senjata

Yangon: Kerajaan Myanmar ada bukti menunjukkan individu dan pertubuhan dalam serta luar negara bertanggungjawab menghasut keganasan di negeri Rakhine tanpa menamakan mereka.
Televisyen menyiarkan kenyataan pejabat Presiden Thein Sein mengatakan suspek termasuk kumpulan yang menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan kerajaan.

Keadaan ini tidak boleh dijadikan kesempatan oleh Myanmar untuk mengusir masyarakat yang tidak diterimanya," - Tomas Ojea Quintana, Penyiasat Khas PBB

Pihak berkuasa juga mengarahkan penduduk di barat Myanmar menyerahkan senjata api, pedang dan senjata lain kepada polis dalam masa tiga hari atau dikenakan tindakan undang-undang.

Sekat keganasan

Langkah itu menyusuli gesaan penyiasat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya Yangon menyekat keganasan serta tidak menggunakannya untuk mengusir masyarakat Rohingya.

Sehingga 21 hingga 30 Oktober, 89 orang maut, 136 cedera dan 32,231 lagi kehilangan tempat tinggal manakala lebih 5,000 kediaman dibakar dalam keganasan antara penduduk Buddha dan Rohingya.
Ketegangan berlarutan di barat Myanmar sejak pertempuran pertama meletus pada Jun lalu selepas seorang wanita diperkosa dan dibunuh dengan tiga lelaki Muslim dituduh bertanggungjawab.

Kira-kira 75,000 orang yang kehilangan rumah dalam kekacauan itu berada di tempat perlindungan sementara.

Di Dhaka, nelayan Bangladesh di Teluk Benggala diminta mencari kira-kira 130 orang yang hilang selepas sebuah bot membawa pelarian Rohingya dikatakan menuju Malaysia, tenggelam.

Bot itu tenggelam dekat sempadan Bangladesh dengan Myanmar dan hanya enam penumpang dilaporkan terselamat.

“Beribu-ribu nelayan keluar menangkap ikan setiap hari. Kami minta mereka mencari mangsa bot itu,” kata Panglima Pengawal Pantai, Leftenan Badruddoza, di Teknaf.

Badruddoza berkata, pihaknya belum menemui sebarang tanda sisa bot atau mayat penumpang setakat ini. - AP/AFP

No comments: