Pages

Friday, October 5, 2012

Syria minta maaf selepas bedil bandar Turki

GAMBAR yang dirakamkan semalam menunjukkan
beberapa orang berdiri di depan sebuah rumah yang
musnah dalam serangan mortar tentera Syria
di bandar Akcakale, Turki.- AFP
ANKARA – Pemerintah Syria mengaku membunuh lima penduduk di bandar Akcakale, Turki dalam satu serangan mortar, kata Timbalan Perdana Menteri Turki, Besir Atalay semalam.
“Pihak Syria mengaku melancarkan serangan itu dan meminta maaf,” katanya selepas Parlimen Turki bersidang bagi membincangkan isu tersebut.
Parlimen Turki turut membenarkan tentera negara ini melancarkan operasi di dalam negara Syria jika dianggap perlu ekoran serangan mortar tersebut.
Kebenaran itu diberikan selepas 320 daripada 550 anggota parlimen meluluskan usul untuk melancarkan operasi tersebut.
Seramai 129 anggota parlimen menentang usul berkenaan termasuk daripada Parti Penduduk Republik yang menjadi pembangkang utama.
Atalay berkata, Syria berjanji tidak akan mengulangi serangan itu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadi pengantara dalam isu berkenaan.
Pihak berkuasa Turki menyatakan antara yang terbunuh itu ialah seorang ibu dan tiga orang anaknya.
Serangan mortar itu tersasar selepas ia dilancarkan pihak tentera Syria dari bandar Tall al-Abyad kelmarin.
Tentera Turki kemudian bertindak balas dengan melancarkan bedilan meriam yang menyebabkan beberapa askar Syria dilaporkan terbunuh.
Sementara itu, kumpulan pemberontak Syria membunuh 21 anggota pasukan elit tentera negara itu di bandar Qudsaya, barat Damsyik dalam satu pertempuran semalam.
Para pemberontak itu yang menuntut Presiden Bashar Al-Assad meletakkan jawatan menggunakan bahan letupan yang diletakkan dekat kuarters pasukan Pengawal Republikan di bandar tersebut.
Tentera Syria turut membedil Aleppo selepas 48 orang maut dalam tiga serangan bom kereta di bandar tersebut kelmarin.
Kumpulan militan Islam, Al-Nusra mengaku melakukan serangan bom kereta itu.
Pergolakan di Syria bermula sejak Mac tahun lalu ekoran kebangkitan penduduk di Asia Barat yang menuntut perubahan kepimpinan.
Pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak dilaporkan telah menyebabkan lebih 30,000 orang terbunuh. – Agensi

No comments: