NEW YORK - Pihak berkuasa New York kelmarin mengarahkan 375,000 orang berpindah dari kawasan pantai sebelum ketibaan taufan Sandy.
Lebih 7,400 penerbangan turut dibatalkan manakala kakitangan pentadbiran yang tidak penting diarah supaya tidak datang ke pejabat.
Semua perkhidmatan bas dan tren di kawasan tepi pantai digantung.
Perkhidmatan pengangkutan awam juga tidak beroperasi di Philadelphia dan Washington.
Bangunan pejabat Bursa Saham New York dan Nasdaq juga ditutup.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membatalkan mesyuarat di ibu pejabatnya di sini.
Pertunjukan teater Broadway di sini juga ditutup kepada orang ramai.
Semua sekolah di Baltimore, Boston dan Washington turut ditutup bagi menghadapi kedatangan taufan Sandy.
Taufan itu dari Lautan Atlantik itu bergerak ke pantai timur Amerika Syarikat.
Bandar raya ini juga kelihatan lenggang.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meminta semua penduduk di bahagian timur negaranya supaya mengambil langkah-langkah perlindungan dengan segera.
Sebelum ini, lebih 1,800 orang terbunuh ekoran kelemahan mengambil perhatian serius terhadap bencana taufan Katrina di New Orleans pada 2005.
Obama turut mengisytiharkan perintah darurat di negeri Massachusetts, Connecticut, Rhode Island, New York, New Jersey dan Pennsylvania.
Taufan itu menyebabkan lebih 60 juta penduduk di timur laut AS turut terjejas.
Setakat pukul 8 pagi kelmarin, Sandy berada sekitar 498 kilometer di selatan dan tenggara bandar raya ini. Ia bergerak ke utara dengan membawa angin selaju 281 kilometer sejam.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh ketika Sandy bergerak ke AS merentasi kepulauan Caribbean termasuk 51 orang di Haiti.
Kebanyakan mangsa maut dalam banjir kilat dan banjir lumpur yang dicetuskan oleh ribut tersebut. - Agensi
No comments:
Post a Comment