Pages

Saturday, October 27, 2012

Korban pagi Aidiladha



Foto
Mayat mangsa letupan bom di Masjid Eid Gah bandar
 Maymana di utara Afghanistan bergelimpangan
selepas penyerang meletupkan bom ketika umat
Islam bersiap sedia menunaikan solat Aidiladha. - Foto REUTERS

Foto
Anggota polis Afghanistan mengangkat mayat orang
awam yang terbunuh dalam letupan
berkenaan. - Foto REUTERS
Kabul: Sekurang-kurangnya 41 orang menjadi korban pada sambutan Aidiladha apabila penyerang bunuh diri meletupkan bom di dalam sebuah masjid di bandar Maymana, wilayah Faryab di utara Afghanistan ketika solat sunat hari raya semalam, kata pegawai.

Penyerang memakai seragam polis ketika meletupkan bom di masjid Eid Gah yang penuh sesak di ibu negeri wilayah Faryab, kata Timbalan Gabenor Wilayah, Abdul Satar Barez. Angka kematian terkini disebabkan letupan itu ialah 41 dan ia mungkin meningkat. Sembilan belas daripada mangsa yang maut adalah anggota pasukan keselamatan termasuk polis, tentera dan ejen perisikan, 17 penduduk awam dan lima kanak-kanak antara yang turut menjadi korban. Ketua polis wilayah, Abdul Khaliq Aqsai, antara yang cedera, katanya.
Kebanyakan pegawai kerajaan tempatan juga berada di masjid berkenaan, yang penuh sesak pada hari pertama daripada cuti empat hari sempena sambutan Aidiladha.

Kami baru selesai menunaikan solat sunat Aidiladha dan saling berbalas ucapan. Tiba-tiba letupan besar berlaku dan kawasan itu dipenuhi debu dan asap dan bahagian anggota mayat berselerak. Ia letupan yang amat kuat, kata Barez.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab, tetapi pengeboman bunuh diri adalah kaedah kegemaran Taliban untuk menumbangkan kerajaan Presiden Hamid Karzai yang disokong Barat.

Aidiladha diraikan dengan umat Islam menyembelih haiwan sebagai korban dan mengagihkan bahagian daging kepada orang miskin, dan hari pertama mengundang kehadiran ramai orang ke masjid di seluruh dunia.
Utara Afghanistan selalunya aman, dengan Taliban, yang ditumbangkan dalam pencerobohan tentera asing diketuai Amerika Syarikat pada 2001, menumpukan operasi di selatan dan timur negara itu.

Namun mereka meningkatkan aktiviti di utara sejak kebelakangan ini, di sebalik kehadiran lebih 100,000 anggota tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO) di negara itu.

Minggu lalu, letupan bom tepi jalan memusnahkan bas mini membawa tetamu ke sebuah majlis perkahwinan di wilayah Balkh, berhampiran Faryab, membunuh 19 orang dan mencederakan 16 lagi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 1,145 penduduk awam maut dalam perang pada enam bulan pertama tahun ini, menyalahkan 80 peratus kematian itu ke atas pemberontak.

AFP

No comments: