Lima kanak-kanak maut serangan helikopter Syria
Sebuah bangunan musnah selepas diserang pagi kelmarin.
BEIRUT - Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak termasuk seorang wanita maut dalam serangan helikopter tentera Syria ke atas bandar Kafr Aweid di utara Syria, pada hari pertama persekolahan, kelmarin.

Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, video di laman YouTube menunjukkan imej mengenai keadaan yang menyayat hati kanak-kanak berkenaan termasuk seorang lelaki mendukung budak perempuan berbaju biru tanpa kepala.

“Allahu akbar!” Adakah ini reformasi dilakukan Presiden Bashar al-Assad, hanya Tuhan yang boleh menolong kami,” demikian tangisan yang kedengaran di dalam klip video berkenaan.

Menurut pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman, serangan berdarah itu berlaku sehari selepas lima lagi kanak-kanak maut di Saraqeb dalam wilayah sama.

Lebih daripada 27,000 orang terbunuh sejak pemberontakan menentang pemerintahan Assad tercetus pada Mac tahun lalu.-AP