Iran ada penasihat  di Syria, Lubnan
Mohamm ad Al i Jafari
TEHERAN - Komander Pengawal Revolusi Iran, Mejar Jeneral Mohammad Ali Jafari, memberitahu bahawa Pengawal Revolusi Iran mempunyai penasihat peringkat tinggi di Syria dan Lubnan sekali gus akan mencampuri urusan kerajaan Syria, jika perlu berbuat demikian.

Dipetik laporan AFP, beliau berkata, Pasukan Quds iaitu ejen Pengawal Revolusi yang beroperasi di luar negara, kini berada di Lubnan dan Syria.

“Anggota pasukan itu tidak menyediakan bantuan ketenteraan, tetapi memberi nasihat, pendapat dan bantuan kewangan,” katanya.

Menurutnya,  ejen Pasukan Quds akan campur tangan dan memberikan bantuan ketenteraan ke Syria mengikut keadaan tertentu memandangkan Iran mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan masalah keganasan di beberapa negara.

“Kami bangga mempertahankan Syria, yang merupakan rintangan kepada kedudukan Zionis,” katanya.

Sementara itu, akhbar Lubnan melaporkan kenyataan itu hanya akan meningkatkan tekanan ke atas pemimpin Hizbullah Lubnan, Sayyed Hassan Nasrallah sekali gus mewujudkan lebih geseran antara etnik dan politik yang berbeza di negara itu.

Mac lalu, gabungan parti politik dan bebas yang menentang rejim Assad dan Hizbullah Lubnan, mengemukakan cadangan kepada Presiden Lubnan, Michel Suleiman supaya menghantar Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unifil) di sempadan timur dan utara negara itu untuk menghalang kuasa asing daripada mencampuri urusan dalam kerajaan.

Sementara itu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat berhubung program nuklear Iran, Amerika Syarikat pulan semakin giat melakukan latihan dan persediaan ketenteraan di perairan Teluk hingga ke Lautan Hindi dengan 12 kapal perang dari 30 negara , bersiap sedia di kawasan itu.

Menurut Washington, latihan itu juga melibatkan gerakan pengesanan periuk api, kecekapan pelaksanan senjata darat dan udara serta ujian perkakas senjata yang baru dibeli.