MANILA - Sepasukan ahli arkeologi menemui tinggalan sebuah kampung purba di puncak sebuah gunung yang dilitupi hutan di Flipina bersama beberapa keranda batu kapur yang belum pernah ditemui di negara Asia Tenggara berkenaan, kata seorang pegawai semalam.
Pegawai Muzium Nasional, Eusebio Dizon berkata, kampung tersebut terletak di kawasan seluas lima hektar di atas Gunung Kamhantik dekat bandar Mualanay di wilayah Quezon.
Menurut Dizon, tinggalan bersejarah itu berusia sekurang-kurangnya 1,000 tahun.
Usia itu, katanya, adalah berdasarkan teknik pengiraan usia karbon ke atas sebatang gigi manusia yang ditemui di dalam satu daripada 15 kubur batu kapur tersebut.
Penemuan beberapa kubur segi empat tepat itu penting kerana artifak tersebut menjadi bukti masyarakat Filipina ketika itu mengamalkan upacara pengebumian yang lebih canggih berbanding tanggapan sebelum ini.
Mereka juga menggunakan peralatan diperbuat daripada logam untuk menghasilkan keranda batu kapur berkenaan.
Beberapa penemuan lalu menunjukkan masyarakat Filipina pada era tersebut menggunakan keranda kayu, keranda tanah liat dan balang untuk menyimpan mayat manusia di beberapa bahagian di negara itu. - AP
No comments:
Post a Comment