Pages

Friday, September 21, 2012

Askar Britain lahirkan anak di medan perang



SEBUAH kereta perisai meronda kawasan di sekitar Kem Bastion, selatan Afghanistan pada 10 Januari 2007.



LONDON - Seorang anggota tentera Britain melahirkan anak lelaki semasa berkhidmat di sebuah kem tentera tempat Putera Harry ditempatkan di Afghanistan.
Kelahiran di zon perang itu dipercayai kes pertama seumpamanya dalam sejarah tentera Britain.
Askar wanita berkenaan yang merupakan seorang pengendali meriam, melahirkan bayinya pada Selasa lalu di Kem Bastion.
Terletak dalam wilayah Helmand, kem tersebut merupakan pangkalan utama tentera Britain di selatan Afghanistan.
Pangkalan itu diserang hebat oleh kumpulan Taliban pada minggu lalu dengan menyebabkan dua askar Marin Amerika Syarikat (AS) terbunuh manakala enam pesawat pejuang AS turut musnah.
Mengulas kelahiran mengejut itu, Kementerian Pertahanan Britain (MOD) dalam satu kenyataan semalam menyatakan ia tidak menyedari askar tersebut sedang mengandung.
Kenyataan MOD menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan askar wanita dikerahkan ke medan perang sekiranya mereka hamil.
Kenyataan sama enggan mendedahkan sama ada askar tersebut yang tidak didedahkan identitinya menyedari tentang kehamilannya.
"Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan baik di hospital tersebut dengan mereka kini diberikan rawatan terbaik," kata kementerian berkenaan.
Menurut kementerian itu lagi, sepasukan doktor akan diterbangkan ke Afghanistan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membantu askar terbabit dan bayinya pulang ke Britain.
Askar wanita berkenaan hamil sebelum dihantar ke medan perang ekoran dia dikerahkan ke Afghanistan pada Mac lalu.
Ditanya tentang insiden tersebut, sebuah badan amal penjagaan kanak-kanak di Britain, National Childbirth Trust menyatakan tugas berat askar terbabit dipercayai menyebabkan dia tidak menyedari atau cuba untuk tidak mengendahkan kehamilannya.
"Askar ini mungkin terlalu fokus pada tugasnya tambahan pula, dia berada dalam situasi hidup mati di zon perang. Ini menyebabkan dia tidak menyedari atau tidak mengendahkan kehamilannya," kata ketua eksekutif badan amal tersebut, Belinda Phipps.
Menurutnya, kehamilan tersebut mungkin tidak disedari oleh askar-askar lain.
"Bukan semua wanita memiliki perut yang besar semasa hamil, sebahagian wanita mempunyai rahim yang jauh ke dalam," tambahnya. - AP

No comments: