Pages

Saturday, August 25, 2012

Syria akur dengan wakil baru PBB

Syria akur dengan wakil baru PBB
Sebahagian daripada pelarian dari Aleppo berehat di sempadan Bab Al- Salameh sebelum memasuki kem pelarian di Turki susulan pertempuran pemberontak dengan tentera kerajaan.
DAMSYIK - Negara bergolak, Syria berikrar sedia bekerjasama dengan wakil baru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi dan berharap beliau dapat membuka jalan bagi dialog kebangsaan walaupun pertempuran di ibu negara dan Aleppo belum reda.

Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Muqdad menuduh jirannya iaitu Turki sebagai negara yang membekalkan senjata api dan menjadi tulang belakang kepada pemberontak selepas mengetahui pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Turki mengadakan perbincangan menggesa kejatuhan Presiden Bashar Al-Assad.

Menurut Muqdad, Damsyik dengan hati terbuka akan bekerjasama dengan Brahimi yang juga veteran diplomat Algeria dinamakan sebagai Duta PBB-Liga Arab menggantikan bekas ketua PBB, Kofi Annan yang melepaskan jawatan pada 2 Ogos lalu selepas gagal melaksanakan pelan damainya.

"PBB telah dimaklumkan bahawa kami menerima pelantikan Brahimi. Malah, kami berharap dapat melihat sebarang idea beliau yang mampu menyelesaikan masalah di sini," kata Muqdad susulan Damsyik mengkritik komen Brahimi bahawa perang saudara telah pun berlaku di Syria dan kini dalam misi menamatkannya.

Muqdad turut berharap wakil baru PBB itu mampu memulakan satu proses dialog kebangsaan termasuk campur tangan asing yang menjadi punca kepada konflik berpanjangan 17 bulan sehingga membunuh hampir 25,000 orang sejak Mac 2011.

Menurut Pemantau Kemanusiaan Syria, sekurang-kurangnya 111 orang terbunuh dalam keganasan kelmarin sahaja, melibatkan 71 orang awam.

No comments: