Pages

Saturday, August 25, 2012

Pengganas Norway disahkan waras


Pengganas Norway disahkan waras
Bangunan kerajaan yang diletupkan Breivik
OSLO – Pengganas Norway, Anders Behring Breivik dijatuhi hukuman penjara 21 tahun, semalam, selepas dia didapati bersalah membunuh 77 orang dalam dua serangan berasingan, Julai tahun lalu.

Breivik, yang mengaku sebagai anti-Islam, kelihatan gembira selepas hakim Wenche Elisabeth Arntzen membacakan keputusan itu dan mengisytiharkan Breivik sebagai waras serta bertanggungjawab ke atas serangan paling buruk dalam sejarah moden Norway.

Hakim menetapkan tempoh minimum 10 tahun dan maksimum 21 tahun penjara, iaitu tempoh paling lama yang dibenarkan oleh undang-undang Norway.

Namun hukuman penjara itu boleh dilanjutkan selagi penjenayah dianggap terlalu berbahaya untuk dibebaskan.

Menurut pakar, dalam kes Breivik, ia mungkin bermaksud lelaki itu akan dipenjarakan seumur hidupnya.

Keputusan itu memenuhi apa yang Breivik sendiri mahukan, sekali gus mengakhiri perbicaraan selama 10 minggu berhubung serangan berkembar di Oslo pada 22 Julai tahun lalu.

Sebelum itu, peguam bela Breivik memberitahu pembunuh itu mahu dipenjara dan akan merayu jika dia didapati tidak waras dan dihantar ke hospital sakit jiwa.

Semasa perbicaraan kesnya, Breivik mengaku melakukan serangan itu dan menceritakan kepada mahkamah secara terperinci bagaimana dia meletupkan bom kereta di pejabat kerajaan di Oslo sebelum melancarkan serangan bersenjata di kem musim panas anjuran parti pemerintah di Pulau Utoya berhampiran Oslo.

Letupan itu menyebabkan lapan orang terbunuh dan lebih 200 cedera, manakala 69 orang, kebanyakannya remaja ditembak mati oleh Breivik di pulau itu.

Breivik tidak menunjukkan sebarang emosi semasa perbicaraannya, dan memberitahu mahkamah serangan yang dilakukannya ‘kejam tetapi perlu’ untuk melindungi Norway daripada kepelbagaian budaya.

Dalam salah satu keterangannya semasa perbicaraan itu, Breivik memberitahu mahkamah: “Saya akan melakukannya sekali lagi”.

No comments: