Pages

Saturday, August 25, 2012

Pertempuran sengit di Aleppo


ALEPPO: Tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad semalam meneruskan serangan terhadap kawasan utara Aleppo semalam.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, beberapa rumah musnah dalam serangan itu. 
Dalam pada itu, kumpulan berkenaan juga berkata, sekurang-kurangnya 50 mayat tidak dikenali ditemui dengan kesan tembakan di kepala sejak 24 jam yang lalu, terutama di Aleppo dan Damsyik.

Ia menunjukkan mangsa dibunuh dengan kejam.

Pemberontak berkata mereka sudah bersedia untuk menghadapi serangan besar-besaran di Aleppo selepas tentera kerajaan memberi amaran akan menjadi “medan tempur paling teruk” di bandar itu.

Seorang pejuang, Abu Haidar, di barat daya Saif al-Dawla berkata: “Kami tidak mempunyai senjata yang mencukupi dan mereka (tentera Syria) tidak mempunyai ramai askar.

Serangan ke atas Aleppo bertujuan menghalang bekalan senjata dihantar kepada pemberontak di bandar kedua terbesar Syria itu, yang sebelum ini adalah kota besar dengan 2.7 juta orang penduduk tetapi sekarang musnah.

Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya 21 orang, kebanyakannya wanita, terbunuh semalam apabila bangunan kediaman dibom oleh tentera Bashar di timur negara itu.

Sekurang-kurangnya sebuah bangunan di bandar Mayadin runtuh selepas menjadi sasaran serangan udara dan meriam, kata Pengarah Pemerhati Syria untuk Hak Asasi, Rami Abdel Rahman.

Menurutnya, 12 wanita adalah antara yang maut sementara puluhan penduduk juga cedera dalam serangan itu. - Agensi

No comments: