Pages

Thursday, July 12, 2012

Rusia terus berdegil sokong Bashar



IMEJ yang dimuat naik di laman YouTube pada 10 Julai lalu menunjukkan beberapa buah kereta kebal rejim Bashar di bandar Izaz, Syria.





DAMSYIK - Kumpulan pemberontak utama di Syria semalam gagal meyakinkan Rusia agar berhenti menyokong sekutunya, Presiden Bashar Al-Assad ketika rejim pemimpin berkenaan terus dicabar dalam beberapa pertempuran terbaharu yang tercetus di seluruh negara.


Menjelang satu taklimat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh Utusan Keamanan PBB, Kofi Annan, Rusia masih enggan berganjak daripada pendiriannya berhubung krisis Syria.


Perkara tersebut dinyatakan Ketua Majlis Kebangsaan Syria (SNC), Abdel Basset Sayda selepas menemui Menteri Luar, Sergei Lavrov di Moscow.


Sayda marah berhubung kegagalan rundingan tersebut.


"Kami menolak dasar Rusia kerana pendirian Moscow yang menyokong Bashar akan menyebabkan keganasan berterusan di Syria," katanya kepada sekumpulan wartawan selepas rundingan berlangsung.


"Kami tidak melihat sebarang kemajuan berhubung dasar Rusia. Saya berada di sini (Moscow) setahun lalu dan dasar ini tetap tidak berubah," kata seorang pegawai kanan, SNC, Burhan Ghalioun.


Dalam pada itu, pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi melaporkan, pemberontak dan tentera rejim Bashar bertempur di daerah Qadam, di sini.


Menurut badan pemantau berkenaan, pemberontakan di Syria yang bermula sejak 16 bulan lalu, telah meragut lebih 17,000 nyawa setakat ini.


Di Aleppo pula, sekurang-kurangnya dua askar terbunuh selepas pemberontak menyerang dua pos kawalan di bandar komersial itu.


Badan pemantau itu turut melaporkan satu serangan berlaku di wilayah Idlib, barat daya Syria melibatkan sebuah bas yang membawa sejumlah askar.


Laporan itu menyebut, 11 anggota tentera terbunuh dalam serangan dengan kumpulan pemberontak di Idlib.


Menurut badan berkenaan, 82 orang maut dalam keganasan di seluruh Syria kelmarin termasuk 26 askar dan 26 pejuang pemberontak.


Sementara itu, Kementerian Luar Perancis menyatakan, satu resolusi Majlis Keselamatan yang dikemukakan oleh Moscow bagi menangani konflik di Syria didapati gagal memenuhi kehendak masyarakat antarabangsa.


"Jelas, resolusi Rusia tersasar daripada kehendak sebahagian besar masyarakat antarabangsa," kata jurucakap kementerian berkenaan, Bernard Valero.


Resolusi itu mencadangkan agar misi pemerhati PBB di Syria dilanjutkan tanpa negara berkenaan berdepan sebarang ancaman sekatan. - Agensi

No comments: