Pages

Thursday, July 12, 2012

Pelan Annan dikecam





         
BEIRUT: Pembangkang Syria yang hidup dalam buangan dan aktivis di negara itu menyelar duta antarabangsa, Kofi Annan dengan menuduhnya memberi layanan serupa kepada mangsa dan penjenayah dalam konflik berdarah di negara itu.

Mereka juga mengecam Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab berkenaan kerana cuba mengambil hati Iran, sekutu Presiden Bashar al-Assad.


Selepas lebih empat bulan pelantikannya, Annan terbukti tidak berjaya untuk menamatkan keganasan yang menurut pemerhati sudah meragut lebih 17,000 nyawa, kebanyakannya orang awam, sejak kebangkitan anti-Bashar meletus Mac tahun lalu, bermula dengan tunjuk perasaan aman.

“Orang ramai marah dan ternyata duta itu berat sebelah,” kata anggota Majlis Kebangsaan Syria, Bashar al-Haraki.


“Apa yang telah dicapainya? Tidak ada apa-apa kecuali darah. Kami terkejut apabila beliau berkata Iran perlu terbabit sedangkan Iran menjadi sekutu kepada pembunuh.


“Iran menyediakan pakar untuk mengawasi komunikasi sejak revolusi bermula.

“Mereka kemudian menghantar pejuang,”  katanya.


Teheran sejak sekian lama menjadi sekutu Damsyik, lebih-lebih lagi selepas Syria menjadi satu-satunya negara Arab yang menyokong Iran dalam perang 1980-1988 dengan Iraq.

Selepas berbincang dengan Bashar di Damsyik Isnin lalu, Annan berkata: “Kami bersetuju pendekatan yang saya akan berkongsi dengan penentang bersenjata.” Kenyataan itu mencetuskan kemarahan aktivis di negara itu.


“Annan bercakap mengenai penentang bersenjata sedangkan rejim Bashar yang yang menyerang orang awam,” kata aktivis yang berpusat di Damsyik, Ahmed al-Khatib kepada AFP melalui Skype.


“Kami berarak di jalan raya dengan membawa bunga tetapi apa yang berlaku menyebabkan kami terpaksa memikul senjata. “Tidak mungkin untuk menyuruh orang ramai menyerahkan senjata pada masa ini. Masyarakat antarabangsa berbelah bagi. Jadi, apa gunanya Annan,” katanya. - AFP

No comments: