Pages

Sunday, July 1, 2012

Rakhine kembali stabil


Dua orang penduduk Rakhine membersihkan kawasan rumah mereka yang dibakar semasa kejadian keganasan kaum dan agama di Sittwe, Rakhine pada 16 Jun lalu . - REUTERS
YANGON 30 Jun - Situasi di negeri Rakhine dilaporkan kembali stabil, walaupun perintah darurat masih dikuatkuasakan di enam pekan di negeri itu, lapor Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam laporan tersebut, OCHA yang beribu pejabat di Yangon berkata, sehingga 24 Jun lalu, seramai 78 orang disahkan terbunuh, 87 cedera dan 3,000 musnah dalam rusuhan etnik dan agama di negeri itu.
Katanya, lebih 52,200 orang masih menjadi pelarian di seluruh Rakhine dan dianggarkan kira-kira 90,000 penduduk terjejas.
Laporan itu turut menyebut soal bantuan dan Program Makanan Dunia (WFP) yang telah menyalurkan 725 tan metrik makanan asas iaitu beras, kekacang, minyak dan garam kepada lebih 92,000 penduduk di lima pekan iaitu Sittwe, Pauktaw, Maungdaw, Rahtedaung dan Buthidaung.
Sejumlah 14 wakil daripada agensi PBB, enam organisasi antarabangsa bukan kerajaan (INGO) dan dua agensi penderma tiba di Sittwe, ibu negeri Rakhine pada 27 Jun lalu untuk memantau situasi di Rakhine dan memperkukuhkan koordinasi.
Katanya, walaupun tiada kekacauan besar berlaku sejak 24 Jun lalu, tetapi masih berlaku pergolakan kecil di beberapa kawasan.
Kawalan keselamatan masih diteruskan di kawasan yang berpotensi tinggi untuk berlakunya rusuhan terutamanya di Sittwe, Maungdaw dan Rathedaung.
Ketiga-tiga kawasan tersebut juga memerlukan bantuan segera seperti khemah, makanan, ubat-ubatan dan keperluan pembelajaran.
Sejumlah 168 sukarelawan Pertubuhan Palang Merah memberi bantuan kepada pelarian yang memerlukan bantuan kesihatan dan memulihkan perhubungan keluarga. - AGENSI

No comments: