BEIRUT 30 Jun - Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh, kebanyakan mereka orang awam, dalam keganasan terbaru di seluruh Syria, hari ini, manakala beratus-ratus lagi terperangkap di Douma dekat utara Damsyik.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, antara yang terbunuh termasuk seorang penduduk awam yang ditembak mati oleh penembak curi di Douma, seorang aktivis di tengah wilayah Hama dan seorang pemberontak di selatan wilayah Daraa.
Kumpulan aktivis yang beribu pejabat di Britain itu turut memberi amaran mengenai situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Douma sejak kawasan tersebut menjadi sasaran serangan ganas tentera kerajaan sejak 21 Jun lalu.
Beratus-ratus penduduk juga dilaporkan cedera sejak tentera rejim mula melancarkan serangan ke atas kawasan di pinggir Damsyik.
"Lebih 100 keluarga berada di pekan tersebut dan tidak dapat melarikan diri serta terpaksa berlindung di rumah masing-masing.
"Kebanyakan yang terperangkap adalah golongan wanita dan kanak-kanak," katanya.
Semalam, seramai 73 orang terbunuh dalam pertempuran di seluruh negara ini dan 23 daripada mereka merupakan tentera kerajaan. - AFP
No comments:
Post a Comment