Pages

Saturday, July 28, 2012

Iran setia sokong Syria




         
DUBAI: Iran semalam berkata, negara itu akan tetap menyokong sekutunya, Syria, ketika komuniti antarabangsa meningkatkan tekanan ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad dalam konflik yang kini memasuki tempoh 16 bulan.

Memetik kenyataan Naib Presiden Pertama, Mohammad Reza Rahimi, Press TV melaporkan, sokongan Teheran terhadap Damsyik “tidak boleh digugat,” sekali gus menamatkan kemungkinan Teheran akan menukar pendiriannya terhadap Bashar.


“Rakyat Iran mempunyai pendirian teguh ke atas Syria dan akan tetap menyokong mereka,” katanya.

Kenyataan Mohamad Reza itu turut diiringi dengan kecaman terhadap kuasa besar dunia yang didakwanya memusnahkan Syria. Kelmarin, Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan, Saeed Jalili, berkata Teheran sedia meningkatkan sokongan terhadap Syria ketika negara itu berdepan tekanan negara asing. Walaupun memuji kebangkitan rakyat Arab di negara lain sebagai “kebangkitan Islam,” Iran sebaliknya tetap menyokong rejim Bashar.


Teheran juga menganggap tentangan pemberontak terhadap rejim Bashar ketika ini sebagai konspirasi negara asing. Dalam langkah menunjukkan sokongan itu, satu delegasi menteri Syria disambut di Teheran kelmarin dan kedua-dua pihak bersetuju dalam perjanjian mengimport elektrik Iran melalui Iraq. Menteri Elektrik Syria, Imad Khamis, berkata Damsyik dan Teheran bersetuju perjanjian dengan Iraq akan ditandatangani dalam tempoh sebulan bagi membolehkan tenaga elektrik diimport dari Iran. Menteri Tenaga Iran, Majid Namjou, pula berkata Teheran “tidak akan membiarkan Syria bersendirian ketika negara itu berdepan dengan detik sukar.” - Reuters

No comments: