Pages

Tuesday, July 3, 2012

Diplomat Arab Saudi rayu tidak dilupakan

DUBAI: Diplomat Arab Saudi yang diculik oleh militan yang mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda di Yaman, merayu Raja Arab Saudi supaya tidak melupakannya.
Abdallah al-Khalidi, Timbalan Konsul Arab Saudi di bandar pelabuhan Yaman, Aden, juga merayu kerajaan Saudi memenuhi permintaan penculiknya supaya membebaskan beberapa wanita yang ditahan di Riyadh. 
Rayuan Abdallah terkandung dalam video terbaru yang disiarkan menerusi Internet, semalam.

“Mengapa anda menolak permintaan kumpulan itu supaya membebaskan tahanan wanita berkenaan?

“Jangan lupakan saya, nasib saya bergantung kepada tahanan wanita itu,” kata diplomat berkenaan dalam video yang dimuat naik di forum Internet yang sering digunakan oleh anggota Al-Qaeda.

Ia adalah video kedua memaparkan Abdullah sejak dia diculik Mac lalu.

Tiada apa di dalam video itu yang menunjukkan maklumat mengenai rakaman sementara ketulenannya juga tidak dapat disahkan.

“Nasib saya tidak diketahui selagi tahanan wanita berkenaan tidak dibebaskan.
“Bebaskan mereka, mereka akan bebaskan saya keesokan harinya,” katanya.

Abdallah membuat rayuan yang sama dalam video yang dimuat naik Mei lalu.

Wanita yang ditahan oleh Arab Saudi adalah anggota keluarga pejuang Al-Qaeda, katanya. - Reuters

No comments: