Pages

Monday, June 11, 2012

Perarakan bantah situasi sosial di Israel

Perarakan bantah situasi sosial di Israel:


Seorang peserta perarakan memegang gambar tahanan Palestin semasa perarakan memperingati ulang tahun ke-45 Perang Enam Hari di Tel Aviv, kelmarin. - AFP
BAITULMAQDIS 10 Jun - Beribu-ribu penduduk Yahudi dan Arab berarak di Tel Aviv sebagai memperingati ulang tahun ke-45 Perang Enam Hari yang menyaksikan Israel merampas Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan timur Baitulmaqdis.
Laman web akhbar Haaretz melaporkan, kira-kira 1,000 penduduk berarak dari Dataran Rabin.
Radio ketenteraan Israel pula melaporkan, penduduk yang menyertai perarakan itu turut membawa kain rentang berbunyi 'Tiada keadilan jika tiada pekerjaan' sebagai protes terhadap situasi sosial di Israel.
Rakyat Palestin awal minggu ini turut melancarkan protes bagi memperingati peristiwa yang berlaku pada Jun 1967 itu.
Tengah hari semalam, kira-kira 300 warga Palestin melangsungkan bantahan, memprotes pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat dengan membaling batu ke arah pasukan keselamatan serta membakar tayar di kampung Beit Nuba, utara Ramallah.
Beberapa saksi memberitahu, terdapat segelintir warga Palestin cedera terkena tembakan peluru getah dan gas pemedih mata yang dilepaskan tentera Israel.
Seorang tentera Israel turut cedera apabila dibaling batu oleh tunjuk perasaan.
Dalam perkembangan lain, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam berkata, beliau sudah bersedia untuk mengadakan sesi dialog bersama Israel jika ia membebaskan 123 tahanan Palestin yang ditahan sebelum perjanjian damai Oslo pada 1993.
"Jika Israel membebaskan kesemua tahanan tersebut, Palestin bersedia untuk mengadakan sesi dialog bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, namun ia bukan satu perbincangan," katanya.
Abbas memberitahu, Palestin berkemungkinan menerima status negara bukan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas mendapat tentangan dari Amerika Syarikat. - AFP

No comments: