Pages

Wednesday, June 6, 2012

Ketika Allah menenggelamkan Firaun, Firaun berkata: Saya percaya bahawasanya tiada Tuhan kecuali Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil




Dari Ibnu Abbas, sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: "Ketika Allah menenggelamkan Firaun, Firaun berkata: Saya percaya bahawasanya tiada Tuhan kecuali Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, Jibril berkata: "Hai Muhammad, kalau kamu melihat ku ketika itu saya mengambil lumpur laut, saya jejalkan lumpur itu di mulutnya, kerana saya khuatir ia mendapatkan belas kasihan".

Sunan At-Tirmidzi Jilid 4. Hadith Nombor 4208. Hadith ini hasan.

Dari Ibnu Abbas yang salah satunya menyebut Nabi s.a.w bahawasanya beliau menyebutkan bahawa Jibril menjejalkan lumpur di mulut Firaun kerana Jibril khuatir kalau Firaun mengatakan "Laailaaha Illallaahu" (Tiada Tuhan selain Allah) dan dia mendapatkan rahmat dari Allah atau Jibril khuatir dia di beri rahmat".

Sunan At-Tirmidzi Jilid 4. Hadith Nombor 4209. Hadith ini hasan gharib sahih.

------------------

Hadith ini berkait rapat dengan firman Allah mengenai sejarah Firaun mengejar Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israil di Laut Merah..

Apa yang berlaku adalah dengan izin Allah yang mana dari doa Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s:

Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

Al Quran | Surah Yunus | Ayat 88

Lalu Allah perkenankan doa baginda dalam ayat seterusnya:

Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya) dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).

Al Quran | Surah Yunus | Ayat 89

Dan dijelaskan pula dalam ayat seterusnya dalam firman Allah:

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah).

Al Quran | Surah Yunus | Ayat 90

Dalam ayat ini Firaun barulah sedar dan menerima kebesaran Allah setelah atas apa yang berlaku, namun di saat di penghujung nyawa itu, iman dan taubat tiadalah berguna lagi.. Sepertimana sambung ayat ini lagi:

(Allah berfirman): Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.

Al Quran | Surah Yunus | Ayat 91

Dan Allah berfirman lagi:

Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!.

Al Quran | Surah Yunus | Ayat 92

Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun) dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka tidak berselisihan (mengenai Nabi Muhammad melainkan) setelah datang kepada mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

Al Quran | Surah Yunus | Ayat 93

Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.

Al Quran | Surah Yunus | Ayat 94
 —

No comments: