Pages

Wednesday, June 6, 2012

80 askar Syria maut

myMetro | 80 askar Syria maut:

BEIRUT: Tentera pemberontak membunuh hampir 80 askar Syria beberapa hari lalu dan aktivis semalam mendakwa jumlah itu melebihi 100. Angka itu menunjukkan korban terbesar askar kerajaan sejak pemberontakan di negara itu bermula 15 bulan lalu.
Badan Pemerhatian Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain yang mempunyai rangkaian pelbagai sumber di negara itu berkata, 113 askar terbunuh dalam pertempuran dengan tentera pemberontak di seluruh negara sejak Jumaat lalu. Angka itu tidak dapat disahkan, tetapi kerajaan Syria mengesahkan hampir 80 askar terbunuh sejak tiga hari lalu.

“Kerajaan mengalami kehilangan besar,” kata ketua badan itu, Rami Abdul-Rahman.
Pemberontakan di Syria bermula secara aman, tetapi tindakan keras kerajaan dengan kereta kebal, mesingan dan penembak hendap mendorong mereka menyandang senjata. Kini konflik di negara itu bertukar menjadi pemberontakan bersenjata. Keganasan semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu dan sukar untuk menuding jari siapa yang patut dipersalahkan atas banyak insiden pertumpahan darah yang berlaku ketika negara itu menuju ke arah perang saudara. Kerajaan mengehadkan wartawan daripada bergerak bebas hingga mustahil untuk membuat penilaian terhadap kedua-dua belah pihak.

Video dan fotografi yang dimuat naik ke dalam talian oleh aktivis menunjukkan kereta kebal yang musnah dan kenderaan persendirian dilengkapi senjata sejak beberapa hari lalu.

Dalam satu rakaman video dimuat naik Sabtu lalu dan dikatakan dirakam di kawasan Douma, di pinggir Damsyik, sebuah kereta perisai musnah dan sekurang-kurangnya dua mayat askar rentung dilihat dekat dengan kenderaan itu. - AP

'via Blog this'

No comments: