Pages

Wednesday, April 11, 2012

TV Lubnan tuduh Syria bunuh jurukamera

KELUARGA dan rakan mengusung keranda Ali  ke tanah perkuburan.
KELUARGA dan rakan mengusung keranda
Ali ke tanah perkuburan.
BEIRUT: Stesen televisyen satelit Lubnan, Al-Jadeed kelmarin menuduh tentera Syria menembak mati jurukamera mereka, Ali Shaaban (gambar kecil) meskipun mangsa dan kru media berkenaan berada di bahagian sempadan Lubnan.

“Ali Shaaban mati syahid selepas tentera Syria melepaskan tembakan ke arah kereta mangsa di kawasan Wadi Khaled,” kata saluran televisyen itu.
Seorang lagi wartawannya, Hussein Khreiss, yang berada bersama Shaaban, melaporkan secara langsung bahawa anggota pasukannya ditembak dari sebelah sempadan Syria, semasa mereka merakamkan kawasan Syria dari Lubnan.




Wartawan itu dan seorang lagi jurugambar Abdul Azeem Khayat, terselamat selepas
melompat ke padang ketika kereta mereka ditembak tanpa henti, tetapi Shaaban tidak mampu merangkak kerana sudah terkena tembakan, kata Khreiss. 

Dia berkata, tembakan itu dilepaskan sekalipun pasukan televisyenLubnan itu sudah melambai-lambai ke arah anggota pasukan pengawal Syria.

Agensi berita Syria, SANA berkata pasukan kru dari Al-Jadeed ditembak dan pengawal sempadan melepaskan tembakan sebagai balasan serangan oleh ‘kumpulan pengganas’.

“Pasukan Al-Jadeed tiba semasa pusat pemeriksaan sempadan diserang pengganas bersenjata dan pengawal sempadan terpaksa membalas tembakan,” kata SANA yang enggan menyiarkan sumber medianya. 
Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati kelmarin mengutuk serangan sementara Presiden Michel Sleiman menuntut Syria melakukan siasatan. 

“Kami akan maklumkan kepada Syria bahawa tindakan melepaskan tembakan dari negara itu kepada media Lubnan, terutama apabila mereka beroperasi di kawasan Lubnan,” kata Mikati di mana kerajaannya dikuasai parti Hizbullah, parti pro-Syria dan disokong Iran berfahaman Syiah serta sekutunya. 

“Kami akan maklumkan Syria mengenai kutukan terhadap tindakan yang tidak boleh diterima dan tuntutan supaya serangan ini disiasat dan penjenayah dipertanggungjawabkan,” tambahnya. – AFP

No comments: