Pages

Saturday, April 28, 2012

Serangan di Syria, 66 lagi maut

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


GAMBAR yang dikeluarkan kumpulan pembangkang Syria, Revolusi Hama pada 6 April lalu merakamkan penduduk Hama memeriksa bangunan yang rosak teruk selepas berlaku pertempuran antara tentera Syria dan kumpulan pemberontak di bandar Hama. - AFP
DAMSYIK 26 April - Sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh di Syria semalam, kebanyakannya di wilayah Hama di tengah negara ini, menandakan gencatan senjata sejak 12 April lalu terus dicabuli hampir setiap hari.
Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan yang mencatatkan keganasan di negara ini berkata, 54 orang terbunuh dan 70 lagi cedera ‘apabila sebuah roket dilancarkan ke daerah Mashaa al-Tayaran’ di wilayah Hama.
Aktivis di kawasan itu berkata, mangsa yang maut di Hama termasuk 13 kanak-kanak dan 16 wanita, manakala banyak lagi mayat masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Siaran video yang dipaparkan di laman web pemberontak menunjukkan beberapa rumah di Hama hanya tinggal timbunan runtuhan dan penduduk menggali dengan tangan untuk mencari mangsa terperangkap.
Pemberontak Syria berkata, lebih 300 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria sejak gencatan senjata mula berkuat kuasa dua minggu lepas.
Aktivis juga melaporkan, seramai 10 orang terkorban dalam bedilan di Douma, pinggir bandar Harasta dan wilayah Idlib dekat sempadan Turki.
Hama dan pinggir bandar Damsyik dibedil selepas pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melawat beberapa kawasan di sana dalam masa dua hari lalu, dan serangan diperhebatkan, kata seorang aktivis, Haytham al-Abdallah.
Sementara itu di Paris, Menteri Luar Perancis, Alain Juppe berkata, Perancis mahu melihat 300 pemerhati PBB dihantar ke Syria dalam masa dua minggu akan datang dan akan menggesa supaya resolusi ‘Bab 7’ diluluskan oleh Majlis Keselamatan kecuali Damsyik mematuhi syarat-syarat pelan damai selewat-lewatnya awal bulan depan.
Bab 7 Piagam PBB membenarkan Majlis Keselamatan meluluskan beberapa tindakan yang akhirnya boleh termasuk penggunaan kekuatan ketenteraan. - dpa/Reuters

No comments: