BERUANG seberat 91 kilogram itu jatuh dari pokok selepas ditembak dengan ubat pelali.
PEGAWAI bergegas membantu beruang itu selepas ia jatuh.
COLARADO: Seekor beruang hitam besar yang memanjat pokok di Universiti Colorado-Boulder, terselamat selepas pegawai Jabatan Hidupan Liar berjaya menyelamatkannya daripada keadaan yang merumitkan.
Beruang jantan seberat 91 kilogram itu dilihat berkeliaran di kawasan dewan penduduk sebelum memanjat pokok itu.
Pegawai melepaskan tembakan ubat pelali ketika haiwan itu bergayut pada dahan dan tidak berapa lama, ia jatuh. Beruang berkenaan sebelum ini menghabiskan masa berkeliaran di kampus itu, kata pelajar dan memanjat pokok setinggi 4.5 meter itu berhampiran asrama universiti.
Pegawai Hidupan Liar melepaskan dua tembakan ubat pelali pada beruang itu. Jurucakap Jabatan Polis universiti, Ryan Huff memberitahu akhbar Denver Post, mereka memilih untuk menenangkan beruang itu kerana kedekatannya dengan pelajar dan kemungkinan ia mencetuskan bahaya.
“Beruang itu hanya berehat di atas pokok selama kira-kira dua jam,” kata Huff.
Sebagai persiapan menyambut haiwan berkenaan jatuh, pegawai menyediakan tilam besar di bawah pokok.
Gambar dan video merakam beruang itu jatuh ke atas tilam berkenaan dengan keadaan kakinya terlentang.
Haiwan itu kemudian dibenar berehat selama beberapa minit di atas tilam dalam keadaan bingung sebelum dipindahkan ke sebuah kandang besar.
Ada pelajar yang bertindak berani mengusap kaki beruang berkenaan menerusi celah kandang.
Jurucakap Jabatan Hutan dan Hidupan Liar Colorado, Jennifer Churchill, memberitahu wartawan, pihaknya melepaskan beruang itu selepas ia ditanda, di kawasan pergunungan di barat Boulder.
Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan bagi beruang hitam keluar dari hibernasi mereka ketika ini dan merayau untuk mencari makanan. - DM
No comments:
Post a Comment