Pages

Monday, April 23, 2012

Ramai golongan kaya Iran beli kereta mewah

Kosmo! Online - Dunia:


SEBUAH kereta Mercedes-Benz melalui sebatang jalan raya di Teheran semalam.



TEHERAN - Golongan kaya di Iran masih mampu membeli kereta mewah walaupun terdapat sekatan yang menjejaskan ekonomi negara ini.
Menurut beberapa laporan semalam, golongan kaya itu sanggup untuk membeli kereta mewah sehingga AS$360,000 (RM1.104 juta).
"Para pembeli membeli kereta-kereta itu yang pada kebiasaannya berharga dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding di negara asing," kata seorang jurujual di sini.
Sebuah akhbar yang memetik satu perangkaan rasmi kastam menyatakan, sebanyak 563 buah kereta Porsche pelbagai model telah dijual di Iran sehingga Mac 2012.
Sasaran Porsche adalah untuk menjual 800 kereta di negara ini.
Sebelum ini pasaran kereta mewah negara itu dikuasai BMW dan Mercedes-Benz.
Maserati yang merupakan pengeluar kereta mewah dan dimilik Fiat turut meminati pasaran di Iran.
Ia akan membuka bilik pamerannya dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Kereta Porsche dijual di negara ini pada harga antara AS$110,000 (RM337,369) hingga AS$360,000.
Buat masa ini, terdapat kira-kira 14 juta kenderaan di jalan-jalan raya di Iran lebih dua kali ganda daripada tahun 2005.
Iran mengalami pelbagai sekatan ekonomi oleh Barat ekoran ia melaksanakan program nuklear.
Negara-negara Barat bimbang negara ini akan mengeluarkan senjata nuklear.
Namun, Iran menegaskan bahawa ia menggunakan nuklear untuk tujuan keamanan dan bukan ketenteraan. - Agensi

No comments: