Pages

Wednesday, April 18, 2012

Pelan damai PBB-Liga Arab di Syria mungkin gagal

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Imej daripada rakaman yang dimuat naik di Youtube kelmarin, menunjukkan tentera-tentera rejim yang berpaling tadah membentuk batalion Tentera Pembebasan Syria di wilayah Idlib, Syria. - AFP


ROM 17 April - Pelan damai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab bagi menamatkan pertumpahan darah di Syria hanya mempunyai peluang tiga peratus untuk berjaya, kata Amir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani di sini, semalam.
Thani yang dalam lawatan ke Itali berkata, peluang untuk berjaya 'tidak lebih daripada tiga peratus' dan rakyat Syria tidak harus dibantu dengan cara aman tetapi 'dengan senjata'.
Qatar mengambil pendirian agresif dalam menyokong pemberontakan sejak setahun lalu menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.
Perdana Menteri Itali, Mario Monti yang menekankan 'kerjasama rapat' antara Itali dengan Qatar berhubung isu Syria, berkata, Rom bersedia untuk menghantar pemerhati bagi membantu memantau gencatan senjata yang bertujuan menghentikan pertumpahan darah selama 13 bulan.
Misi pemantau itu adalah sebahagian daripada pelan enam perkara yang dirangka oleh Duta PBB-Liga Arab, Kofi Annan dan sudah dipersetujui oleh Syria.
Gencatan senjata yang disokong PBB itu mula berkuat kuasa pada subuh Khamis lalu, tetapi sejak itu, sekurang-kurangnya 55 orang, kebanyakannya orang awam, dilaporkan maut dalam keganasan.
Awal bulan ini, Duta Syria ke PBB menggesa Qatar, Arab Saudi, Turki dan negara-negara Barat tidak mensabotaj misi damai Annan dengan membiayai dan membantu kumpulan pemberontak.
Sementara itu, pasukan awal tentera pemantau PBB yang tiba di Syria kelmarin melahirkan rasa optimis mengenai misi mereka untuk menstabilkan keadaan di negara itu.
"Kami akan mempersiapkan pasukan kami untuk memulakan tugas dengan secepat mungkin," kata Kolonel Ahmed Himmiche dari Maghribi, yang mengetuai pasukan enam anggota tentera tanpa senjata itu.
Ketika ditanya sama ada beliau yakin misi pemerhati yang perlu diperluaskan kepada 250 anggota itu mampu mengukuhkan gencatan senjata yang dicemari keganasan, beliau menjawab, 'semua anggota pasukan pengaman bersikap optimis'. - AFP/REUTERS

'via Blog this'

No comments: