Pages

Wednesday, April 18, 2012

Britain dilanda kemarau pula

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Seorang pemancing berdiri di tebing kawasan tadahan air Bewl yang kini hanya mempunyai air kurang separuh daripada kapasitinya ekoran masalah kemarau di Kent, United Kingdom pada 5 April lalu. - AFP


LONDON 17 April - Sebahagian kawasan di Britain mengalami kemarau berikutan masalah bekalan air terburuk yang pernah berlaku sejak 1976, menurut amaran yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar Britain, semalam.
Mengikut perangkaan, lebih 35 juta penduduk tinggal di kawasan terjejas dan hari ini, masalah bekalan air diisytihar di seluruh Midlands serta South West.
Media tempatan melaporkan, sebahagian kawasan di negara ini kini mengalami musim kering lebih buruk berbanding yang pernah berlaku pada 1976, bencana kemarau terburuk dialami Britain sejak lebih 100 tahun.
Bencana kemarau ketika itu menyebabkan sistem paip menegak terpaksa dipasang di kawasan penduduk, bekalan air bagi tujuan komersial dicatu dan sekolah ditutup lebih awal.
Jabatan Alam Sekitar berkata, langkah sama mungkin diambil pada musim panas ini dan memberi amaran keadaan kering berterusan akan menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar dan mengundang catuan bekalan air secara menyeluruh.
"Kekurangan hujan mengundang masalah kepada alam sekitar, hidupan liar dan pertanian.
"Semua pihak patut memberi kerjasama dengan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan bekalan air mencukupi," menurut kenyataan jabatan itu.
Kemarau sudah diisytihar di seluruh London, East Anglia dan kawasan selatan selepas lapan tahun berturut-turut mencatatkan musim kering, menjejaskan lebih 20 juta penduduk dan menyebabkan bekalan air terganggu.
Seorang eksekutif di Pusat Ekologi dan Hidrologi yang dibiaya kerajaan, Dr Barnaby Smith berkata, paras air sungai di beberapa kawasan di England sangat rendah jika dibandingkan dengan kemarau pada April 1976.
East Anglia dikatakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana kali ini. - BERNAMA

'via Blog this'

No comments: