Pages

Thursday, April 26, 2012

Annan bimbang keadaan di Syria

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR yang disiarkan di Rangkaian Berita Shaam semalam menunjukkan asap daripada sebuah bangunan yang terbakar akibat serangan tentera Syria di wilayah Idlib.


DAMSYIK, Syria - Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan (gambar kecil) yang juga Utusan PBB ke Syria menyambung semula kunjungan ke beberapa tempat bergolak di negara berkenaan bersama sepasukan pegawai badan dunia itu semalam.
Annan, pada masa yang sama, menggesa agar sepasukan 300 askar pemerhati dihantar segera ke Syria selain menyuarakan kebimbangan berhubung keganasan yang berlanjutan di negara berkenaan.
Gesaan tersebut dibuat selepas sekurang-kurangnya sembilan orang awam terbunuh semalam akibat serangan tentera pemerintah dalam keganasan terbaharu di Syria.
Menurut Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, empat orang terbunuh dalam sebuah bas semasa tembakan tentera di sebuah pusat pemeriksaan dekat bandar Khan Sheikhun.
Pertubuhan pemantau yang beribu pejabat di Britain itu turut menyatakan, dua orang awam maut akibat tembakan tentera rejim di pinggir bandar Harasta.
Sejumlah mangsa lain maut akibat tembakan penembak curi di pinggir ibu negara, Douma.
Tambah pihak pemantau, seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas terkena tembakan di sebuah kampung di wilayah timur bandar Deir Ezzor.
Tentera rejim juga dilaporkan menembak mati seorang warganegara di bandar Rastan di tengah bandar Homs.
Keganasan di Syria masih berterusan walaupun satu gencatan senjata dicadang PBB sudah berkuat kuasa sejak 12 April lalu.
Menurut anggaran PBB, lebih daripada 9,000 orang terkorban sejak bantahan antirejim meletus Mac tahun lalu. - Agensi

'via Blog this'

No comments: