Pages

Sunday, February 12, 2012

Ibu kering air mata


PILU...Cassindra (kanan) dan anggota  keluarga selepas kehilangan bayi sulung.
PILU...Cassindra (kanan) dan anggota keluarga selepas kehilangan bayi sulung.


JOHOR BAHRU: “Kering air mata kerana menangis, tiada apa yang boleh dilakukan kerana anak tersayang pergi selama-lamanya,” kata Cassindra Gelungan, 24, selepas bayi perempuannya, Angel Cassandra yang berusia enam hari meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, kelmarin.
Lebih menyayat hati, Angel yang meninggal dunia tepat jam 4.20 petang di unit rawatan rapi (ICU) HSA baru beberapa jam diberikan nama.

Menurut Cassindra, hatinya luluh setiap kali melihat pakaian serta kelengkapan disiapkan untuk menyambut anak sulung itu yang langsung tidak disentuh berikutan pemergian Angel.
Yang membuatkan dia lebih terkilan, kejadian itu didakwa berlaku akibat kelalaian kakitangan HSA yang diamanahkan menjaga Angel.

“Saya melahirkan Angel ketika usia kandungan hanya lapan bulan pada jam 7.49 pagi, 4 Februari lalu di HSA dengan berat 1.85 kilogram.

“Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan membawanya pulang berikutan Angel mengalami demam kuning tapi tidak serius,” katanya.
Menurut Cassindra yang berasal dari Gelang Patah, dia akur dengan arahan itu dan dijanjikan boleh membawa bayinya pulang pada 7 Februari.

Bagaimanapun, katanya, ia sekali lagi ditangguh pada keesokan hari berikutan Angel belum pulih sepenuhnya akibat demam kuning.
“Saya datang semula ke HSA, Rabu lalu dan terkejut mendapati Angel tidak bertindak balas ketika saya memegang kakinya dan pada masa sama ada kesan susu kering pada bibir dan mulutnya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak hospital.

“Saya memang kecewa, kami faham petugas perlu jaga ramai lagi bayi lain tetapi pada masa sama, mereka boleh melakukan pemeriksaan sekali lalu.

“Jika ada yang tidak kena, pasti mereka boleh segera mengambil tindakan. Ini tidak, saya yang datang dari rumah terlebih dulu mengesan kejadian itu,” katanya.

Cassindra turut mendakwa, kakitangan HSA menyusukan bayi mereka menggunakan gelas kecil dan ia dipercayai punca Angel tersedak.

Selain itu, Cassindra mendakwa, bayinya tidak ditempatkan di dalam inkubator walaupun dilahirkan tidak cukup bulan, malah Angel hanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas kejadian terbabit.

Sementara itu, bapa Angel, Jacbelin Jemmy, 23, berkata dia kecewa apabila kakitangan HSA gagal memberikan sebab terperinci bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Jacbelin yang bertugas sebagai jurukimpal berkata, dia tidak mengharapkan pampasan tinggi, sebaliknya mahukan keadilan supaya perkara sama tidak menimpa pasangan lain.

“Nilai nyawa manusia tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, yang pergi tidak akan kembali, tetapi kami harap perkara ini tidak berulang. Cukuplah hanya kami yang merasai kesedihan akibat kehilangan insan tersayang.

“Kami juga bercadang mengambil tindakan undang-undang tetapi buat masa sekarang, kami perlu menguruskan soal pengebumian anak,” katanya.

Mayat Angel disempurnakan di Tanah Perkuburan Selesa Jaya, pagi semalam. Jacbelin turut membuat laporan berkaitan kejadian di Balai Polis Sentral Khamis lalu, untuk tindakan selanjutnya.

No comments: