PARIS 26 Jan. - Polis Perancis menahan pengasas syarikat implan payu dara Poly Implant Prothese (PIP), Jean-Claude Mas yang menghilangkan diri sejak skandal produk keluaran syarikatnya tercetus bulan lalu.
Menurut sumber polis hari ini, lelaki itu ditahan di kawasan rumah teman rapatnya.
Polis sedang menyiasat kemungkinan Mas berdepan dengan dakwaan bunuh dan mencederakan tanpa niat.
Doktor di Perancis melaporkan terdapat 20 kes kanser di kalangan wanita yang memakai implan jenama itu, 16 daripadanya menghidap kanser payu dara, walaupun belum disahkan sama ada ia berkaitan dengan pemakaian produk tersebut.
Dianggarkan antara 400,000 hingga 500,000 wanita seluruh dunia memakai implan PIP.
Selain Perancis, Jerman dan Republik Czech menyarankan pemakai jenama berkenaan mengeluarkan implan mereka, manakala Britain pula mengarahkan wanita yang memakainya menjalani pemeriksaan lanjut.
Implan PIP ditarik balik dari pasaran Eropah pada tahun lalu selepas badan kesihatan di sini menemui ia diperbuat daripada silikon gred industri yang menyebabkan ia mudah pecah.
Mas sebelum ini pernah mengesahkan implan tersebut diperbuat daripada gel silikon industri namun menolak ia mengundang bahaya. - AFP
No comments:
Post a Comment