TEHERAN: Parlimen Iran dijangka menimbangkan larangan mengeksport minyak ke Eropah minggu depan selepas blok itu mengenakan sekatan terhadap bahan api dari republik Islam itu, lapor media memetik kenyataan anggotanya, semalam.
Suruhanjaya Tenaga di Parlimen “masih meneliti draf cadangan untuk menghalang eksport minyak ke Eropah”, kata jurucakap badan itu, Emad Hosseini dalam ulasan yang mendapat banyak liputan. Emad berkata, cadangan itu akan dikemukakan Ahad kepada Parlimen, sebelum keputusan dibuat sama ada ia akan dimasukkan dalam agenda.
“Sekiranya ia diluluskan kerajaan terpaksa menghentikan jualan minyak ke Eropah sebelum pelaksanaan sebenar sekatan dilakukan mereka,” katanya. Kesatuan Eropah (EU) Isnin lalu mengenakan sekatan ke atas eksport minyak Iran ketika Barat meningkatkan tekanan terhadap Teheran ekoran isu nuklearnya dan menggesa negara itu kembali ke meja rundingan. Republik Islam itu yang sudah melalui sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak empat kali, dengan tegas menafikan program nuklearnya menjadi topeng untuk menghasilkan bom atom sebagaimana didakwa Barat dan menekankan ia hanya untuk kepentingan awam.
“Draf cadangan itu bertujuan menggesa kerajaan menghentikan jualan minyak ke Eropah sebelum sekatan EU dikuat kuasakan,” kata anggota Suruhanjaya Tenaga, Hassan Ghafourifard dalam laman web Parlimen.
Menteri Luar EU bersetuju untuk mengenakan larangan serta-merta ke atas import minyak dan menghentikan kontrak yang ada hingga 1 Julai. Mereka juga membekukan aset bank pusat Iran dan pada masa sama memastikan perdagangan yang sah dibuat mengikut syarat yang ketat. - AFP
No comments:
Post a Comment