Pages

Tuesday, January 17, 2012

Ketua Taliban Pakistan terbunuh

PESHAWAR 16 Jan. - Pemimpin Taliban Pakistan, Hakimullah Mehsud dipercayai terbunuh dalam satu serangan oleh pesawat tanpa juruterbang Amerika Syarikat (AS) dekat sempadan Afghanistan pada minggu lepas.
Empat pegawai perisikan Pakistan semalam berkata, mereka mendapat maklumat mengenai kematian Hakimullah itu dengan memintas perbualan radio wayarles antara para pejuang Taliban.
Pejuang militan itu menceritakan bagaimana Hakimullah terbunuh ketika dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di wilayah kabilah Waziristan Utara dekat sempadan Afghanistan pada 12 Januari lalu.
Seorang pegawai kanan tentera Pakistan berkata, tidak ada pengesahan rasmi musuh ketat Islamabad itu terbunuh.
Taliban Pakistan, gerakan militan yang menimbulkan ancaman terbesar terhadap keselamatan negara ini, menafikan kematiannya.
Jika Hakimullah disahkan maut, kematiannya boleh meredakan tekanan ke atas pasukan keselamatan yang belum berjaya melemahkan kumpulan tersebut yang telah melancarkan banyak serangan pengebom berani mati di seluruh negara ini.
Namun, kematian itu juga mungkin tidak dapat mengurangkan keganasan dalam jangka panjang di Pakistan.
Kematian pemimpin sebelum Hakimullah, Baitullah Mehsud dalam serangan serupa pada 2009 menimbulkan harapan palsu Taliban Pakistan yang dikenali sebagai Tehrik-e-Taliban Pakistan atau TTP dapat ditumpaskan.
"Enam hingga tujuh anggota TTP berbual menerusi radio wayarles dan bercakap mengenai konvoi Hakimullah diserang dengan pesawat tanpa juruterbang semasa dia menuju ke satu lokasi dekat Miranshah untuk menghadiri mesyuarat," kata seorang pegawai perisikan itu. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: