Pages

Tuesday, January 17, 2012

Bahan letupan ditemuidi selatan Bangkok



SEBUAH bekas mengandungi bahan letupan diangkat oleh beberapa anggota forensik ke sebuah lori di sebuah bangunan di wilayah Samut Sakhon, pinggir Bangkok semalam. -


BANGKOK - Pengakuan seorang suspek pengganas telah membawa polis kepada penemuan lebih daripada empat tan bahan letupan di wilayah Samut Sakhon.

Ketua Polis, Jeneral Priewpan Damapong semalam berkata, 4,380 kg baja urea dan 10 gelen cecair ammonia nitrat dijumpai di sebuah bangunan komersial di Tambon Kalong, daerah Mueng, wilayah Samut Sakhon, 36 kilometer di selatan Bangkok, pagi semalam.

Kira-kira 200 anggota polis memeriksa bangunan awal pagi berikutan pengakuan suspek, warga Lebanon berumur 48 tahun itu, katanya.

Beliau berkata, suspek itu menyewa premis itu sejak Januari 2010 dengan kadar sewaan 15,000 Baht (RM1,500) sebulan dan bahan letupan itu telah lama disimpan di situ.

"Bagaimanapun, suspek itu mengaku bahawa bahan-bahan itu hendak diseludup ke negara lain dan bukan digunakan di negara ini," kata Priewpan.

Ibu negara ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan Kedutaan Amerika Syarikat di Thailand, melalui laman webnya Jumaat lepas, memberi amaran kepada rakyat Amerika di Thailand bahawa pengganas asing mungkin sedang mencari peluang untuk melakukan serangan di kawasan pelancongan di ibu kota ini pada masa depan.

Beberapa negara lain juga mengikut jejak Amerika dengan mengeluarkan mesej amaran itu kepada rakyat mereka.

Sebelum amaran itu dikeluarkan, pihak berkuasa Thailand menangkap seorang suspek pengganas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini, pada Khamis lalu semasa cuba meninggalkan negara ini.

Sebelum itu, Priewpan menyebut lelaki itu adalah anggota kumpulan Hezbollah yang berpangkalan di Lebanon, mengaku kepada polis Thailand bahawa serangan yang dirancang itu dibatalkan kerana pihak berkuasa Thai telah dapat menghidu rancangan itu.

Seorang lagi suspek telah meninggalkan Thailand.

Timbalannya, Pansiri Prapawat berkata, polis akan mendapatkan perintah mahkamah esok untuk penahanan lanjut suspek pengganas itu.

"Polis berharap dapat membuat rumusan mengenai siasatan mereka menjelang esok," katanya. Kegiatan pengganas asing sentiasa dipantau pihak berkuasa Thai sejak pertengahan bulan lepas berikutan maklumat dari Mossad, badan perisikan Israel, bimbang mereka mungkin menyerang rakyat Israel di negara ini.

Semalam, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra memberi jaminan semua kawasan awam dan pelancongan di sini adalah selamat. - Bernama

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments: