TEHERAN: Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat yang ditempatkan di Timur Tengah dilarang kembali semula ke pangkalannya di Teluk Parsi, kata Ketua Tentera Iran semalam.
“Iran tidak akan mengulangi amarannya. Kapal pengangkut pesawat musuh belayar ke Laut Oman berikutan kerana latihan tentera kami.
“Saya mengesyor dan menegaskan supaya kapal Amerika Syarikat itu tidak kembali ke Teluk Parsi,” kata Brigadier Jeneral Ataollah Salehi kepada wartawan.
“Saya menasihati dan memberi amaran kepada mereka (Amerika Syarikat) supaya tidak kembali ke Teluk Parsi kerana bukan amalan kami untuk memberi amaran lebih daripada sekali,” katanya.
Ataollah tidak menyebut nama kapal pengangkut pesawat berkenaan atau memberi butir terperinci mengenai tindakan yang akan diambil jika ia kembali.
Bagaimanapun, hanya USS John C Stennis beroperasi di Teluk ketika ini. Iran menamatkan latihan 10 hari di Teluk Isnin lalu dan memberi amaran ketika latihan berkenaan bahawa ia mungkin menutup Selat Hormuz jika kuasa asing mengenakan sekatan terhadap eksport minyak mentahnya.
Empat puluh peratus perdagangan minyak dunia menggunakan selat berkenaan.
Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat yang berpangkalan di Bahrain berkata, ia tidak akan membenarkan aktiviti perkapalan di selatan berkenaan terganggu.
Dalam pada itu, Iran semalam turut mengumumkan kejayaannya menguji dua peluru berpandu jarak jauh ketika latihan terbabit yang diadakan ketika ia berdepan dengan peningkatan tekanan dari Barat berkait dengan program nuklearnya.
Iran juga berkata ia tidak berniat untuk menutup Selat Hormuz tetapi melakukan latihan ‘olok-olok’ untuk menutup laluan strategik itu.
Teheran menolak tuduhan Barat bahawa ia cuba menghasilkan bom atom, sebaliknya berkata, ia memerlukan teknologi nuklear untuk menjana elektrik.
Amerika Syarikat dan Israel tidak menolak kemungkinan menggunakan tindakan ketenteraan terhadap Iran jika usaha diplomasi untuk menyelesaikan isu nuklear republik Islam itu gagal.
Kesatuan Eropah menimbang untuk mengekori jejak Amerika Syarikat dalam mengharamkan import minyak mentah Iran.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment