Pages

Saturday, November 5, 2011

Orang minyak amuk di Ketari


Oleh Asrol Awang
bhnews@bharian.com.my
2011/11/05

Lembaga hitam didakwa pecah rumah, merogol bimbangkan penduduk

KUANTAN: Anak gadis di 20 kampung dan tamah perumahan Ketari, Bentong dinasihat tidak berjalan bersendirian terutama pada waktu malam bagi mengelak menjadi mangsa ‘lembaga hitam’ yang dibimbangi penduduk sejak dua minggu lalu kerana ia adalah seorang penjenayah pecah rumah dan perogol.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor, meminta penduduk meningkatkan rondaan malam di kawasan kejiranan masing-masing dan membersihkan semak-samun yang berpotensi menjadi tempat persembunyian penjenayah.
Mohamad Mansor berkata, pihaknya sedang mengenal pasti beberapa suspek selepas memperincikan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Jangan percaya khabar angin mengenai lembaga hitam, kita sedang menjuruskan siasatan untuk mendapatkan bukti untuk bertindak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau mengulas kebimbangan penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari mengenai lembaga hitam seakan orang minyak bertubuh kecil dipercayai mengamalkan ilmu hitam yang mengganggu gadis bawah umur selain memecah masuk rumah.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman, juga meminta penduduk di situ mendapatkan laporan lebih tepat daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu bagi mengelak masyarakat terpengaruh dengan berita yang belum diketahui kesahihannya.
Beliau menasihatkan mereka supaya meningkatkan semangat kejiranan dan mengambil langkah keselamatan termasuk memasang lampu untuk menerangkan persekitaran rumah.

“Bagi masyarakat Islam pula, lebih baik adakan solat hajat dan perbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir bagi mengelak perkara tidak baik berlaku di rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

ADUN Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye pula meminta penduduk kampung lebih berwaspada serta meningkatkan rondaan di sekitar kawasan masing-masing.

“Pihak polis juga turut membuat rondaan dan kita harap penduduk dapat bekerjasama dengan polis untuk memastikan keharmonian kawasan masing-masing,” katanya.
Berita Harian Online | Orang minyak amuk di Ketari:

'via Blog this'

No comments: