Pages

Tuesday, October 11, 2011

Ulama gesa Libya amal fahaman Islam sederhana


TRIPOLI 10 Okt. - Seorang ulama terkenal dan berpengaruh di Libya, Ali al-Sallabi menggesa ahli politik di negara ini mengadaptasi dan melaksanakan fahaman Islam sederhana.
Beliau yang pulang semula ke Libya selepas bekas pemimpin negara ini, Muammar Gaddafi digulingkan berkata, semua pihak perlu faham Islam bukan sahaja mengenai hukuman.
''Islam merangkumi semua perkara termasuk politik, Sebelum ini, kita tidak dapat melaksanakan prinsip Islam. Saya seorang ulama. Saya juga rakyat Libya. Saya mempunyai hak dalam isu-isu politik.
''Islam bukan sahaja mengenai hukuman, potong tangan dan kepala dengan pedang,'' katanya yang tidak mempunyai peranan rasmi tetapi berpengaruh ekoran hubungan rapatnya dengan kerajaan Qatar yang menyokong kuat Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya, semalam.
Sebilangan rakyat Libya mengesyaki Ali menyokong pelaksanaan undang-undang Syariah.
Sejak Tripoli berjaya dirampas oleh NTC pada 20 Ogos lalu, Ali yang dipenjarakan oleh Gaddafi pada 1980-an kerana aktiviti menentang kerajaan, muncul sebagai jurucakap utama kumpulan Islam yang tidak gembira dengan cubaan beberapa pemimpin NTC untuk menghalang kumpulan itu daripada menyertai politik.
Sementara itu, tiga lelaki yang dipenjarakan selama tujuh tahun selepas gagal membunuh Gaddafi gembira bekas pemimpin Libya itu digulingkan.
Abdullah Ahmed al-Shaari, 72, Nasser Abdul Salam al-Tarshani, 46, dan Jamal Saed, 48, merupakan antara 44 lelaki dari timur Libya ditangkap dan dipenjarakan kerana merancang pembunuhan Gaddafi semasa pemimpin itu merasmikan pembukaan pasar raya pada 1981.
''Kami gagal dalam cubaan membunuh Gaddafi tetapi kini gembira dia sudah tiada,'' kata Abdullah yang merupakan seorang eksekutif syarikat minyak sebelum ditahan.
Abdullah yang ditahan bersama beberapa ahli keluarganya termasuk adiknya, Fathi yang dikenakan hukuman mati kerana mendalangi rancangan bunuh itu, berkata, dia bersama mereka yang ditahan diseksa dan dipukul.
'' Mereka memukul belakang dan kaki saya menggunakan wayar elektrik dan kayu selama 15 hari. Saya juga digantung dengan kepala ke bawah,'' ujarnya. - Reuters/AFP

No comments: