Pages

Tuesday, October 11, 2011

Makin ramai golongan kaya Britain mahu berhijrah



LONDON 10 Okt. - Rusuhan di England, baru-baru ini mengakibatkan bilangan orang kaya negara ini menimbang untuk meninggalkan Britain terus meningkat.
Kaji selidik oleh Lloyds TSB International Wealth yang diterbitkan hari ini mendapati 17 peratus daripada 1,057 responden yang memiliki simpanan dan pelaburan melebihi 250,000 pound (RM1.27 juta) mahu berpindah ke luar negara dalam tempoh dua tahun akan datang.
Angka itu meningkat daripada 14 peratus pada enam bulan lalu.
Sebanyak 61 peratus daripada mereka yang menimbang berpindah ke luar negara menyatakan bahawa jenayah dan kelakuan anti-sosial sebagai alasan utama mereka mengambil keputusan itu.
Jumlah itu meningkat daripada 43 peratus dan mengetengahkan kebimbangan yang timbul ekoran rusuhan di London dan beberapa bandar utama pada Ogos lalu.
''Rusuhan, kenaikan cukai dan peningkatan kos sara hidup menimbulkan suasana suram di kalangan rakyat kaya di United Kingdom.
''Ia akan mengembalikan kebimbangan penyusutan kekayaan daripada ekonomi kita, ketika orang kaya mencari tempat lain untuk tinggal,'' kata Pengarah Urusan Lloyds TSB International Wealth, Nicholas Boys Smith dalam satu kenyataan.
Rusuhan yang menyaksikan sejumlah kematian pada Ogos lalu itu berlaku selepas polis menembak mati suspek penjenayah di London.
Ia mencetuskan keganasan dan kerosakan harta benda di beberapa bandar utama Britain termasuk kedai dibakar dan dipecah masuk. - Reuters

No comments: